liza23/09/2026 - 17:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept – Marine & General Berhad (M&G) menyaksikan peningkatan aktiviti operasinya pada suku berakhir 31 Julai 2026 didorong pemulihan aktiviti penggerudian selepas keadaan cuaca buruk di Laut China Selatan reda.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, M&G berkata pemulihan aktiviti penggerudian itu membantu meningkatkan kadar penggunaan kapal bagi bahagian Logistik Marin – Huluan (Marine Logistics – Upstream) kepada 75% pada suku berkenaan, berbanding 69% pada suku sebelumnya.
Peningkatan tersebut turut menyumbang kepada pertumbuhan hasil suku semasa berbanding suku sebelumnya, dengan bahagian Huluan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada operasi kumpulan.
Bahagian Logistik Marin – Huluan menyumbang 79% daripada keseluruhan hasil kumpulan, manakala bahagian Logistik Marin – Hiliran (Marine Logistics – Downstream) menyumbang 19%. Baki 2% datang daripada aktiviti lain.
Aktiviti huluan kembali meningkat
Bagi bahagian Huluan, sebanyak 18 kapal digunakan pada suku berakhir 31 Julai 2026, berbanding 20 kapal pada suku sama tahun sebelumnya.
M&G berkata, beberapa kapal tidak dapat digunakan sepenuhnya sepanjang suku berkenaan kerana sedang dibaik pulih selain aktiviti penggerudian domestik yang lebih sederhana.
“Keadaan itu menyebabkan kadar penggunaan kapal bahagian Huluan berada pada 75%, lebih rendah berbanding 82% pada suku sama tahun sebelumnya.
“Hasil bahagian Huluan berjumlah RM61.6 juta, berbanding RM85.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai bahagian itu berjumlah RM9.4 juta berbanding RM22 juta.
“Sementara itu, bahagian Hiliran mencatat hasil RM13.8 juta, hampir tidak berubah berbanding RM13.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya,” kata kumpulan itu.
Kadar penggunaan kapal bahagian Hiliran bagaimanapun meningkat sedikit kepada 89% daripada 88% pada suku sama tahun sebelumnya, menunjukkan tahap operasi bahagian itu kekal stabil.
Keuntungan meningkat berbanding suku sebelumnya
Secara keseluruhan, M&G mencatat hasil RM75.6 juta bagi suku berakhir 31 Julai 2026, meningkat daripada RM66.9 juta pada suku sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai turut meningkat kepada RM9.6 juta daripada RM4.1 juta pada suku sebelumnya, manakala kumpulan berkata peningkatan itu sejajar dengan hasil yang lebih tinggi dan perbelanjaan susut nilai yang lebih rendah.
Bagaimanapun, berbanding suku sama tahun sebelumnya, hasil kumpulan susut 24% daripada RM99.4 juta, manakala keuntungan sebelum cukai berkurangan 58.9% daripada RM23.4 juta.
Keuntungan selepas cukai pula berjumlah RM9.5 juta, turun 59.1% daripada RM23.2 juta, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat susut 60.8% kepada RM6.5 juta daripada RM16.6 juta.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah pinjaman kumpulan berkurangan kepada RM462 juta pada 31 Julai 2026 daripada RM482 juta pada 30 April 2026, manakala tunai dan setara tunai meningkat kepada RM28.4 juta daripada RM19.5 juta.
Prospek kekal neutral
Bagi prospek semasa, M&G menjangkakan aktiviti huluan minyak dan gas serta perkembangan gas asli cecair (LNG) terus menyediakan peluang kepada pengendali kapal sokongan luar pesisir dan kapal tangki.
Kumpulan bagaimanapun menjangkakan keadaan pasaran kekal mencabar berikutan ketegangan perdagangan global, risiko geopolitik, kadar sewaan kapal domestik yang kembali ke purata biasa serta persaingan tender yang lebih sengit.
M&G turut mengambil kira tekanan peralihan tenaga, peningkatan perbelanjaan modal dan operasi penggerudian, khususnya di kawasan air dalam, serta kos pematuhan terhadap piawaian alam sekitar dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih ketat.
Bagi bahagian Hiliran, kumpulan menjangkakan tahap operasi kekal stabil disokong permintaan konsisten terhadap kapal tangki Malaysia. Lembaga pengarah mengekalkan prospek neutral bagi tahun kewangan semasa dan akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi serta pengoptimuman kapal mengikut perkembangan pasaran dan keadaan ekonomi. - DagangNews.com






