liza22/09/2026 - 13:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept – Phillip Capital menjangkakan CBH Engineering Berhad terus mencatat pertumbuhan keuntungan pada separuh kedua 2026 (2H26), disokong pelaksanaan projek pusat data yang semakin rancak serta buku tempahan tertunggak bernilai RM890 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih teras CBH Engineering meningkat 36% suku ke suku dan 140% tahun ke tahun kepada RM25 juta pada suku kedua 2026 (2Q26), menunjukkan trajektori keuntungan yang semakin baik apabila kumpulan mempercepatkan pelaksanaan projek dalam buku tempahannya.
Menurutnya, pihak pengurusan menjangka antara 35% hingga 40% daripada buku tempahan RM890 juta itu akan diiktiraf sebagai hasil pada 2H26, bersamaan kira-kira RM310 juta hingga RM360 juta.
Berdasarkan perkembangan itu, Phillip Capital mengunjurkan hasil CBH Engineering bagi tahun kewangan 2026 antara RM520 juta hingga RM570 juta, manakala keuntungan bersih teras bagi suku ketiga 2026 (3Q26) dijangka mencecah RM26 juta hingga RM30 juta.
“Anggaran tersebut disokong pelaksanaan berterusan beberapa projek pencawang elektrik pusat data, dengan hasil 3Q26 dijangka meningkat berbanding RM25 juta pada 2Q26 dan RM6 juta pada 3Q25.
Tempahan baharu semakin rancak
“Momentum perolehan kontrak juga dilihat semakin meningkat dalam tempoh dua bulan lalu selepas permulaan yang perlahan, apabila kontrak baharu dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026 hanya berjumlah RM60 juta.
“Perkembangan itu menyokong pandangan kami bahawa CBH Engineering berada pada landasan untuk mencapai sasaran dalaman pengurusan sebanyak RM600 juta kontrak baharu bagi 2026,” katanya dalam nota kajian.
Firma itu turut melihat potensi kontrak berulang daripada projek bernilai RM88 juta yang baru diperoleh bagi fasa awal tapak pusat data baharu di Selangor, dengan kontrak tambahan berpotensi diperoleh apabila fasa seterusnya dibangunkan.
Selain itu, buku tender CBH Engineering kini berjumlah RM1 bilion, dengan 80% daripadanya terdiri daripada projek pusat data manakala baki 20% melibatkan projek bukan pusat data.
Berdasarkan kadar kejayaan tender sebelum ini antara 30% hingga 40%, jumlah itu berpotensi diterjemahkan kepada RM300 juta hingga RM400 juta kontrak baharu.
Projek pusat data terus jadi pemacu
Daripada buku tender tersebut, lapan projek berkaitan pusat data kini sedang dalam proses bidaan, termasuk satu tender terbesar bernilai RM200 juta.
Phillip Capital berkata, beberapa kontrak pusat data bernilai besar yang diperoleh baru-baru ini sudah memasuki fasa pelaksanaan, termasuk projek pencawang pusat data Johor bernilai RM246 juta yang bermula pada Julai 2026.
Ia turut merangkumi projek Johor Fasa 2 bernilai RM60 juta dan projek pencawang pusat data Selangor bernilai RM88 juta yang masing-masing bermula pada Ogos 2026, dengan nilai keseluruhan ketiga-tiga kontrak mencecah RM394 juta.
“Kami menjangkakan hasil CBH Engineering bagi 2H26 antara RM310 juta hingga RM360 juta, berbanding RM211 juta pada 1H26, didorong pelaksanaan buku tempahan tertunggak RM890 juta.
“Oleh itu, kami menaikkan unjuran keuntungan bagi 2026 hingga 2028 sebanyak 21% selepas mengambil kira margin projek yang lebih baik daripada jangkaan,” katanya.
Margin lebih baik angkat unjuran
Margin keuntungan bersih CBH Engineering pada 1H26 mencapai 20%, berbanding anggaran awal Phillip Capital sebanyak 14%, mendorong firma itu menaikkan anggaran margin keuntungan bersih 2026 kepada 17%.
Margin lebih baik itu antara lain disebabkan campuran projek yang lebih menguntungkan, dengan kerja pencawang pusat data menyumbang kira-kira 90% daripada buku tempahan kumpulan, selain manfaat daripada skala operasi yang lebih besar.
Phillip Capital menjangkakan keuntungan bersih teras CBH Engineering meningkat daripada RM44 juta pada 2025 kepada RM95.8 juta pada 2026, sebelum meningkat lagi kepada RM115.3 juta pada 2027 dan RM139.7 juta pada 2028.
Firma itu menaikkan harga sasaran 12 bulan CBH Engineering kepada RM1.35 daripada RM1.11, berdasarkan gandaan harga kepada keuntungan sebanyak 22 kali ke atas anggaran keuntungan sesaham 2027 yang disemak, selain mengekalkan saranan ‘Beli’.
Firma tersebut bagaimanapun menyenaraikan beberapa risiko kepada prospek CBH Engineering, termasuk kelewatan pemberian kontrak pusat data, risiko pelaksanaan projek, tekanan margin akibat peningkatan kos subkontraktor serta perubahan dasar kerajaan yang boleh menjejaskan kelulusan pembangunan pusat data. - DagangNews.com






