‘Pen kurus Reta belum dapat kelulusan pihak berkuasa

LocalHealth & Fitness
28 Aug 2026 • 4:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Pen kurus Reta belum dapat kelulusan pihak berkuasa

PETALING JAYA: Produk penurunan berat badan yang didakwa mengandungi Retatrutide atau ‘Reta’ dikesan diiklankan dan dijual secara dalam talian meskipun bahan itu masih menjalani kajian klinikal fasa tiga serta belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa regulatori di dunia.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, sehingga 17 Ogos lalu, belum ada produk mengandungi Retatrutide yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk digunakan di Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli atau menggunakan produk berkenaan, terutama yang diperoleh daripada sumber tidak sah tanpa pemeriksaan, preskripsi dan pemantauan pengamal perubatan berdaftar.

“Penggunaan produk atau ubat sedemikian tanpa penilaian dan pemantauan perubatan yang sewajarnya boleh menyebabkan kesan advers serta komplikasi yang serius.

“Keadaan ini boleh menjadi lebih berisiko sekiranya kesan advers atau komplikasi yang berlaku tidak dikenal pasti dan ditangani dengan segera, sekali gus membahayakan kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KKM, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM terus mengambil tindakan secara proaktif bagi membendung pengiklanan dan penjualan produk penurunan berat badan yang melanggar undang-undang.

Bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, sebanyak 65 aduan diterima dan 30 serbuan dilaksanakan, termasuk 17 serbuan berkaitan penjualan secara dalam talian.

Keseluruhan rampasan dalam serbuan tersebut bernilai RM477,142.

Sepanjang tahun ini, sebanyak 209 iklan produk penurunan berat badan, termasuk produk yang dikatakan mengandungi Retatrutide, diturunkan daripada platform e-dagang.

Selain itu, sebanyak 1,243 iklan menerusi pelbagai saluran media dikenal pasti, disaring dan diambil tindakan sewajarnya.

“KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan produk yang didakwa mengandungi Retatrutide, ‘Reta’ atau produk penurunan berat badan daripada sumber yang tidak sah.

“Sebelum membeli atau menggunakan sebarang produk penurunan berat badan, pastikan produk itu berdaftar dan diluluskan untuk kegunaan berkenaan serta diperoleh daripada sumber yang sah,” katanya.

KKM berkata, ubat yang memerlukan preskripsi hendaklah digunakan di bawah pemantauan profesional kesihatan berkelayakan.

“Status pendaftaran produk boleh disemak menerusi fungsi Product Search di laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), manakala ketulenan hologram Farma Tag boleh diperiksa menggunakan FarmaChecker dalam aplikasi MyUBAT.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan, testimoni, dakwaan penurunan berat badan secara cepat dan drastik atau tawaran harga terlalu murah,” katanya.

Penjualan ubat tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

KKM turut melaksanakan kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko penggunaan dan pembekalan produk kesihatan tidak sah.

“Sebarang aduan atau maklumat mengenai ubat atau kosmetik yang meragukan boleh disalurkan menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran,” katanya. –UTUSAN

The post ‘Pen kurus Reta belum dapat kelulusan pihak berkuasa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved