Penagih dadah wanita catat peningkatan tahun lepas – AADK

LocalHealth & Fitness
16 Sep 2026 • 8:36 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Penagih dadah wanita catat peningkatan tahun lepas – AADK

Walaupun statistik menunjukkan peratusan wanita lebih rendah, iaitu 4.7 peratus berbanding lelaki 95.3 peratus pada tahun lepas, halangan yang mereka hadapi selalunya lebih bersifat sistemik dan emosi.

KOTA BHARU: Jumlah wanita yang dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini merekodkan peningkatan daripada 8,638 orang pada 2024 kepada 8,926 orang tahun lepas.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata daripada jumlah itu golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun mencatatkan paling ramai terlibat, iaitu sebanyak 6,193 orang, diikuti dewasa antara 40 hingga 59 tahun (2,567) dan remaja (166).

“Dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants merupakan bahan terlarang yang tertinggi diambil oleh golongan wanita, iaitu 7,588 orang, diikuti opiat (762), ganja (138), pil psikotropik (119) dan lain-lain, termasuk ketum serta kokain (319 orang),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata laporan daripada United Nations on Drugs and Crime (UNODC) menyatakan bahawa cabaran bagi wanita untuk mendapatkan rawatan adalah jauh lebih kompleks berbanding lelaki.

“Walaupun statistik menunjukkan peratusan wanita lebih rendah, iaitu 4.7 peratus berbanding lelaki 95.3 peratus pada tahun lepas, halangan yang mereka hadapi selalunya lebih bersifat sistemik dan emosi. 

“Masyarakat cenderung melihat penagihan dalam kalangan wanita sebagai satu kegagalan moral yang lebih besar berbanding lelaki,” katanya.

Beliau berkata golongan wanita secara statistik sering mempunyai sumber kewangan yang lebih terhad atau bergantung secara ekonomi kepada pasangan. 

“Kos rawatan seperti pengangkutan ke fasiliti AADK menjadi bebanan yang berat. UNODC melaporkan bahawa wanita sukar mendapatkan rawatan jika pasangan mereka juga seorang penagih yang mengawal pergerakan mereka atau menghalang mereka daripada berubah,” katanya.

Melalui Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pada pindaan yang berkuat kuasa 22 Ogos 2025, golongan wanita boleh mendapatkan rawatan secara sukarela dalam komuniti di bawah pengawasan Pegawai Pemulihan atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) secara percuma. 

“Kita juga turut menyediakan perkhidmatan Mobilisasi Rawatan Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT) AADK ke kawasan pedalaman, sekali gus mengatasi kekangan logistik yang sering dihadapi oleh golongan wanita,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved