PGRS Silam fokus kukuhkan parti di akar umbi: Mizma

LocalPolitics
6 Oct 2025 • 1:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Silam tidak tergugat dengan tindakan beberapa parti yang keluar meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua PGRS Bahagian Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, tindakan mereka juga tidak menjejaskan semangat perjuangan PGRS.

Katanya, PGRS Silam kekal fokus ke arah memperkukuh perpaduan dalam parti, khususnya di peringkat akar umbi.

“Kami di Bahagian Silam tidak berasa tergugat dengan tindakan beberapa parti yang keluar meninggalkan GRS.

“Pendirian kami jelas dan kukuh untuk terus bersama kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana kami percaya GRS mampu meneruskan kestabilan dan memajukan negeri Sabah,” katanya.

Mizma berkata demikian ketika ditemui pada Program Khidmat Masyarakat berteraskan penyelidikan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di PPR Taman Sapagaya, Ahad.

Menurut Mizma, apa yang penting buat masa ini adalah meneruskan perjuangan menjaga kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, kesetiaan dan kejujuran adalah aspek yang penting dalam memperjuangkan agenda rakyat.

“Kekuatan sebenar GRS bukan terletak pada jumlah parti komponen tetapi pada kesepakatan untuk membangun negeri Sabah secara bersama di bawah kepimpinan Hajiji,” tambahnya.

Sementara itu, bercakap mengenai program berkenaan, Mizma memberitahu bahawa program ini salah satu usaha untuk memperkasakan masyarakat dalam aspek pendidikan dan keusahawanan.

Tambahnya, pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program yang berlangsung pada 4 dan 5 Oktober ini termasuk ceramah keusahawanan dan ceramah ‘Jom Masuk U’.