Perak tubuh jawatankuasa khas tangani kecurian kabel

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 1:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perak tubuh jawatankuasa khas tangani kecurian kabel
Mohd Azlan ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak di Ipoh pada Isnin.

IPOH – Kerajaan Perak akan menubuhkan satu jawatankuasa khas rentas agensi bagi menangani kegiatan kecurian kabel telekomunikasi dan isu lurang terbuka yang semakin membimbangkan di negeri itu.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, jawatankuasa berkenaan akan diselaras oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan penglibatan penyedia perkhidmatan telekomunikasi sebagai anggota.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu penting bagi memastikan tindakan lebih tersusun, bersepadu dan berkesan dapat dilaksanakan dalam membanteras isu berkenaan.

"Kerajaan negeri amat mengambil maklum akan peningkatan kes lurang terbuka yang semakin membimbangkan serta implikasi seriusnya terhadap keselamatan awam.

"Jawatankuasa ini akan menjadi platform utama penyelarasan antara agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan tindakan lebih menyeluruh," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak di sini pada Isnin.

Mohd Azlan berkata, trend kes berkenaan menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini dengan 539 kes direkodkan pada 2024, meningkat kepada 908 kes pada 2025.

Jelasnya, bagi tahun 2026 sehingga Mac sahaja sebanyak 377 kes direkodkan iaitu peningkatan 68 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kejadian lurang terbuka berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencuri kabel bawah tanah sebelum meninggalkan penutup lurang dalam keadaan terbuka.

Katanya, selain kecurian kabel tembaga, turut berlaku kes khianat melibatkan pemotongan kabel gentian optik dan kerosakan kemudahan Fiber Distribution Cabinet (FDC) yang menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi.

Jelasnya, pada 2025, sebanyak 411 kes direkodkan manakala bagi tempoh sehingga Mac 2026, sejumlah 106 kes dilaporkan.

Beliau berkata, antara langkah diambil termasuk memateri penutup lurang, rondaan keselamatan bersama polis, pengeluaran kabel tembaga lama serta penubuhan Pasukan Maklum Balas dan Tindakan Cepat (RRT).

Katanya, mulai 15 April lalu, sebanyak 14 pasukan RRT telah ditubuhkan di seluruh negeri bagi memastikan respons segera terhadap aduan lurang terbuka termasuk menutup lubang atau memasang penghadang sementara.

Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita selepas menggulung isu itu, Mohd Azlan berkata, perbuatan khianat terhadap infrastruktur telekomunikasi merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah itu kerana hukuman berat boleh dikenakan terhadap mereka.