Tiada dana kerajaan diguna untuk Liga Perak Sejahtera - Exco

LocalFootball
20 Apr 2026 • 4:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada dana kerajaan diguna untuk Liga Perak Sejahtera - Exco
Khairudin ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak di Ipoh pada Isnin.

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menegaskan tiada sebarang peruntukan awam digunakan bagi penganjuran Liga Perak Sejahtera 2030 seperti yang didakwa pembangkang.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, dana berjumlah RM2 juta yang disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) adalah khusus untuk pembangunan bola sepak negeri dan tidak berkaitan dengan liga berkenaan.

Menurutnya, peruntukan itu telah diluluskan dalam pembentangan bajet terdahulu berdasarkan kertas kerja permohonan PAFA.

"RM2 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada PAFA tidak terlibat dengan penganjuran Liga Perak Sejahtera. Ini sangat jelas.

"Peruntukan tersebut meliputi pelbagai aspek pembangunan seperti pasukan Liga A1, pasukan belia, skuad Sukma, program pembangunan, kejurulatihan, futsal, bola sepak wanita dan pasukan kurang upaya,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) yang mempersoalkan kemungkinan dana kerajaan digunakan untuk Liga Perak Sejahtera, susulan kewujudan logo parti politik pada bahan promosi liga tersebut.

Khairudin berkata, peruntukan disediakan untuk pembangunan bola sepak itu meliputi anggaran perbelajaan seperti pasukan Liga A1 sebanyak RM950,000; pasukan belia (RM300,000); pasukan Sukma yang bermain di Liga Ipoh (RM50,000); persiapan pasukan Sukma (RM200,000); program pembangunan (RM200,000); pengadil (RM50,000); futsal dan bola sepak pantai (RM100,000); bola sepak wanita (RM50,000) dan bola sepak kurang upaya (RM100,000).

Beliau menegaskan, penganjuran Liga Perak Sejahtera adalah hasil kolaborasi pihak luar bersama PAFA dan bukan di bawah kawalan kerajaan negeri atau pejabatnya.

Jelasnya, penganjuran pertandingan tersebut merupakan kolaborasi antara PAFA dengan pihak penganjur dalam melahirkan bakat-bakat muda.

"Kalau pihak Yang Berhormat Titi Serong ada keinginan untuk menganjurkan liga yang sama bersama dengan PAFA, saya alu-alukan. Berkaitan dengan kolaborasi itu kita galakkan tidak ada sebarang perbalahan dan sebagainya.

"Cuma apabila disebut penggunaan RM2 juta itu untuk Liga Perak Sejahtera, saya selaku Exco yang terlibat dengan sukan saya nafikan kerana ini adalah kertas kerja yang telah diluluskan dalam pembentangan bajet sebelum ini," katanya.

Justeru itu, Khairudin berkata, tindakan mengaitkan peruntukkan RM2 juta bagi pembangunan sukan negeri seperti yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu tidak tepat.