Sabah dan Sarawak perlu perhatian khas capai sasaran SSR beras 80% menjelang 2030 - Dewan Rakyat diberitahu

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sabah dan Sarawak perlu perhatian khas capai sasaran SSR beras 80% menjelang 2030 - Dewan Rakyat diberitahu Image from: Sabah dan Sarawak perlu perhatian khas capai sasaran SSR beras 80% menjelang 2030 - Dewan Rakyat diberitahu amree06/11/2026 - 09:00 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov — Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian serta langkah aktif bagi ditingkatkan pengeluaran padi susulan kadar sara diri (SSR) beras di kedua-dua negeri itu masih rendah, iaitu sekitar 20% berbanding 61.6% di Semenanjung Malaysia.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin justeru berkata, usaha peningkatan SSR beras negara kepada 80% menjelang 2030 memerlukan tindakan menyeluruh, khususnya di Sabah dan Sarawak yang ketinggalan dari segi pengeluaran.

 

Tambahnya, SSR beras negara naik daripada 52.9% pada 2022 kepada 54.3% pada 2023, namun sasaran 80% menjelang 2030 masih jauh untuk dicapai berikutan pelbagai cabaran termasuk serangan penyakit, perubahan iklim dan pengurangan keluasan kawasan penanaman padi.

 

"Kerajaan akan meneruskan pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan pengeluaran, antaranya penggunaan teknologi moden, rawatan kesuburan tanah, penambahbaikan pengairan serta benih padi berkualiti tinggi yang tahan penyakit," jelas beliau.

 

Foong Hin menyatakan demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 untuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

 

Ujarnya lagi, selain itu pelbagai langkah lain termasuk pelaksanaan lima musim penanaman padi dalam tempoh dua tahun serta peluasan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah.

 

beras_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Katanya, kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri turut digalakkan kerajaan bagi memperluas kawasan penanaman padi melalui penerokaan kawasan baharu dan pelaksanaan projek berskala besar seperti yang dilakukan di Sarawak dan Selangor.

 

"Sarawak sudah mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar tanah berpotensi untuk penanaman padi, selain memperuntukkan RM1 bilion daripada dana negeri bagi membangunkan industri berkenaan," tambah Foong Hin.

 

Di Selangor pula tambah beliau, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sudah melaksanakan projek sawah berskala besar bagi meningkatkan tahap pengeluaran beras serta membantu menambah pendapatan pesawah.

 

Mengulas pelaksanaan SMART SBB yang diperkenalkan pada 2021, beliau berkata program itu berkembang daripada dua syarikat projek perintis kepada 25 syarikat peneraju, melibatkan 23,441 pesawah di 45 lokasi dengan keluasan keseluruhan 53,700 hektar. 

 

Kerajaan turut memperuntukkan RM2.6 bilion masing-masing pada 2024 dan 2025 bagi subsidi serta bantuan kepada pesawah, termasuk bantuan input pertanian, Skim Subsidi Harga Padi (SSHP), Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), insentif penuaian dan pelarasan harga beras putih import di Sabah, Sarawak serta Labuan.

 

"Antara pendekatan yang boleh dikaji bagi memperkukuh industri padi negara ialah peralihan subsidi berasaskan input kepada subsidi berasaskan hasil serta kemungkinan menyemak mekanisme apungan harga beras domestik," jelasnya.

 

Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu sensitif kerana perlu mengimbangi kepentingan pesawah dan pengguna. Beliau turut mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian mengambil pendekatan lebih proaktif meneliti cadangan penambahbaikan industri padi. 

 

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan KPKM yang berjumlah RM6.919 bilion bagi 2027 melalui undian suara majoriti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved