Penantian berakhir pilu, jasad warga emas ditemukan dalam sungai

4 Oct 2026 • 12:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penantian berakhir pilu, jasad warga emas ditemukan dalam sungai

SUNGAI PETANI – Penantian keluarga berakhir pilu apabila jasad seorang warga emas yang hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, Bukit Selambau, dekat sini malam kelmarin ditemukan terapung pagi ini.

Mayat mangsa, Mat Yusof Hashim, 77, ditemukan pasukan bomba pada pukul 9.10 pagi tadi, kira-kira 100 meter dari lokasi kereta Proton Wira dipandunya ditemukan di dalam sungai tersebut.

Ahli keluarga termasuk anak lelaki mangsa, Mohd Noor Mat Yusof, 43, tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat mayat lelaki itu dinaikkan dari sungai.

Turut berada di lokasi ialah bakal isteri mangsa, Nisun Che Mat, 69.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, jasad mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) menerusi kaedah pencarian di permukaan.

“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terapung di kawasan reba, kira-kira 100 meter dari lokasi kereta terjatuh.

“Kedalaman air sungai pada hari ini kira-kira 1.5 meter iaitu surut berbanding hari kejadian yang mencecah 4.5 meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dipercayai dihanyutkan arus ke lokasi tersebut sejurus kejadian.

“Cabaran dalam operasi kali ini ialah hujan yang kadangkala turun dengan agak lebat menyebabkan paras air naik sedikit, namun semuanya terkawal,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, dekat sini.

Kejadian kira-kira pukul 11.41 malam kelmarin itu berlaku ketika Proton Wira dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Kuala Ketil menghala ke Felda Teloi Timur.

Mangsa dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu ahli keluarga bakal isterinya bagi membincangkan persiapan perkahwinan yang dijadualkan pada 12 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

The post Penantian berakhir pilu, jasad warga emas ditemukan dalam sungai appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved