
SUNGAI PETANI: Lelaki warga emas yang hilang selepas kereta dipandu terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, Bukit Selambau, di sini kelmarin ditemukan lemas, hari ini.
Mayat Mat Yusof Hashim, 77, ditemui pada pukul 9.15 pagi ini selepas gerakan mencari dan menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba dan penyelamat serta penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mayat ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kereta Proton Wira dipandunya.
“Ketika ditemui mangsa masih lengkap berpakaian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses selanjutnya.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik video yang merakam kejadian itu dan kemudian segera menghubungi polis untuk memudahkan operasi pencarian,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.41 malam kelmarin, mangsa yang memandu seorang diri didapati hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di situ.
Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berkunjung ke rumah bakal isterinya bagi membincangkan hal berkaitan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada Disember nanti. – UTUSAN
The post Warga emas hilang dua hari dalam sungai ditemui lemas appeared first on Utusan Malaysia.






