Hasrat hidup bersama di penghujung usia tidak kesampaian

4 Oct 2026 • 3:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hasrat hidup bersama di penghujung usia tidak kesampaian

SUNGAI PETANI – “Arwah ada sebut mahu berkahwin dengan saya sebab nak habiskan masa bersama dan saling menjaga di penghujung usia ini. Namun, hasrat itu tidak kesampaian.”

Demikian kata Nisun Che Mat, 69, bakal isteri kepada Mat Yusof Hashim, 77, yang ditemukan meninggal dunia pagi ini selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, Bukit Selambau, dekat sini pada malam kelmarin.

Menurut Nisun, meskipun masih bersedih dengan kejadian itu, dia bersyukur kerana jasad arwah sudah ditemukan dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah.

“Alhamdulillah jasad arwah sudah ditemui. Sebelum ini kita berdoa supaya operasi pencarian dipermudahkan. Memang sedih tetapi nak buat macam mana, kita reda sajalah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 12 Disember ini.

“Saya reda kerana itu perancangan kita, Allah yang menentukan. Buat masa ini kami belum membuat sebarang persiapan kenduri, lagipun kami rancang buat kecil-kecilan sahaja.

“Pagi ini sepatutnya kami buat ujian darah. Malam sebelum kejadian itu pun arwah mengingatkan saya mengenai urusan hari ini,” ujarnya.

Jelasnya, sepanjang mengenali arwah, lelaki berkenaan seorang yang baik dan mereka sudah berbincang mengenai kehidupan bersama, termasuk hasrat untuk saling menjaga sekiranya salah seorang jatuh sakit.

“Kalau dia sakit, mak cik jaga, saling jagalah. Memang dia seorang yang baik,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan penantian keluarga berakhir pilu apabila jasad seorang warga emas yang hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah pada malam kelmarin ditemukan terapung pagi tadi.

Mayat mangsa, Mat Yusof ditemukan pasukan bomba pada pukul 9.10 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi kereta Proton Wira dipandunya ditemukan di dalam sungai tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Hasrat hidup bersama di penghujung usia tidak kesampaian appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved