Pendaftaran caruman pekerja asing dilakukan secara automatik - KWSP

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2025 • 6:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendaftaran caruman pekerja asing dilakukan secara automatik - KWSP

image is not available

07/10/2025 - 18:06

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mendaftarkan secara automatik pekerja bukan warganegara Malaysia yang memegang Pas Lawatan (Kerja Sementara) atau Pas Pekerjaan mulai Oktober 2025.

KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, pendaftaran secara automatik itu juga menghapuskan keperluan untuk mereka hadir ke pejabat KWSP untuk berbuat demikian.

“Majikan boleh menyemak status pendaftaran dan mengemas kini maklumat pekerja mereka secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan).

“Surat pemberitahuan berhubung pelaksanaan proses baharu ini telah dikeluarkan kepada majikan mulai 20 September 2025,” kata KWSP.

Dasar baharu itu turut menetapkan bahawa semua syarikat yang belum berdaftar dengan KWSP perlu mendaftar dengan kadar caruman ditetapkan pada 2% daripada gaji bulanan masing-masing, melibatkan majikan dan pekerja.

KWSP menegaskan semua caruman mesti dikemukakan selewat-lewatnya pada hari ke-15 setiap bulan, selaras dengan peraturan sedia ada.

Dalam masa sama, KWSP mengingatkan para majikan supaya menyelenggara rekod gaji pekerja dengan tepat bagi memastikan caruman dibuat dengan betul dan mengelakkan sebarang pelanggaran peraturan.

“Pekerja asing juga dinasihatkan supaya memohon Pengeluaran Meninggalkan Negara dalam tempoh dua bulan sebelum tempoh sah pas kerja mereka tamat.

“Langkah ini sebahagian daripada usaha KWSP untuk memodenkan proses pendaftaran dan memperluas perlindungan sosial kepada tenaga kerja asing, selain memastikan ketelusan dan pematuhan dalam sistem caruman negara,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, KWSP mengumumkan pelaksanaan caruman wajib bagi semua pekerja bukan warganegara di Malaysia bermula November ini dengan potongan berasaskan gaji bulan Oktober.

Menurut KWSP, caruman itu melibatkan semua pekerja asing yang memiliki pasport serta pas kerja sah dikeluarkan Jabatan Imigresen, kecuali pembantu rumah.

Peluasan caruman wajib itu adalah langkah penting dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.

Ia menangani jurang utama dalam perlindungan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja semua warganegara.

KWSP juga menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, wakil majikan, pekerja asing serta badan bukan kerajaan sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan pelaksanaan undang-undang ini berjalan lancar. - DagangNews.com

standard