
KUANTAN - Seorang pendaki cedera dihempap pokok tumbang ketika tidur dalam kejadian di Kem Seputih berdekatan Gunung Rajah, Kuala Tahan, Jerantut pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa, Wan Nurulhuda Mior Abdullah, 49, dilaporkan cedera di pinggul dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, kumpulan terdiri 10 pendaki bersama seorang malim gunung itu memulakan pendakian pada Isnin lalu.
"Mereka dijangka turun pada Ahad bagaimanapun kira-kira jam 12 tengah hari pada hari berkenaan, pihak polis menerima maklumat mangsa dihempap pokok tumbang ketika tidur," katanya.
Zukri berkata, usaha menyelamat mangsa sedang digerakkan termasuk mendapatkan bantuan helikopter dari Unit Udara Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) " katanya.
"Helikopter PDRM telah tiba di Kuala Tahan untuk bantuan menyelamat mangsa.
"Mangsa dijangka akan terus dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas dikeluarkan," katanya.
Tambah beliau, pasukan mencari dan menyelamat juga telah bersiap sedia di Kuala Tahan untuk bantuan melalui jalan darat sekiranya khidmat helikopter tidak dapat digunakan.
"Bantuan melalui darat agak sukar kerana akan mengambil masa kira-kira dua hari untuk sampai ke lokasi selain tiada jaringan talian telefon," katanya



