Pendaki Croatia tersentuh porter remaja bantu usung

14 Sep 2026 • 3:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pendaki Croatia tersentuh porter remaja bantu usung

KOTA KINABALU: Pendaki Croatia, Mauro Persic, yang ditemui selepas lapan hari bersendirian dalam keadaan cedera di Gunung Kinabalu kesal atas risiko diambilnya, namun insiden itu mengukuhkan lagi kepercayaan terhadap sifat belas ihsan manusia.

Persic, 46, berkata operasi menyelamat itu memberi keinsafan kepadanya, terutama apabila anggota penyelamat dan porter terpaksa usungnya turun selepas dia terlalu lemah dan cedera untuk meneruskan perjalanan sendiri.

Antara yang paling memberi kesan kepadanya ialah seorang porter yang dianggarkan berusia 15 tahun.

Katanya, ketika remaja itu mengusungnya menuruni gunung, beliau dapat merasai setiap hentakan menerusi kaki dan lutut porter berkenaan.

“Ia menghancurkan hati saya. Adakah semuanya berbaloi? Saya tidak tahu. Mungkin tidak. Badan yang cedera. 40 orang mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan seorang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Persic berkata, walaupun tidak mengenali individu yang datang membantunya, mereka melayannya dengan penuh kebaikan sepanjang tempoh getir berkenaan.

Pengalaman itu tidak membuatkannya menyimpan kepahitan, sebaliknya mengukuhkan lagi kepercayaannya terhadap sifat belas kasihan manusia.

Beliau berkata mereka membawakan makanan, coklat dan makanan ringan kepadanya, berkumpul di unggun api, berkongsi jenaka serta menemaninya ketika anggota penyelamat berusaha membawanya turun dari gunung.

Pendaki Croatia itu yang diselamatkan minggu lalu menerusi operasi membabitkan pelbagai agensi, mengalami kecederaan pada kaki kanan dan rusuk kanan, selain luka ringan pada tangan dalam kejadian berkenaan.

Persic yang kurang dua minggu lalu menyertai perlumbaan pengembaraan lasak di kawasan Tambatuan, Kota Belud, mendaki Gunung Kinabalu menerusi laluan timur, iaitu denai yang menghubungkan kampung-kampung yang bergantung kepada sumber air mata air di kawasan Kundasang.

Walaupun menerima layanan baik daripada penduduk, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jamili Nais, berkata individu yang melanggar peraturan di Gunung Kinabalu wajar dipenjarakan bagi memberi pengajaran dan mencegah perbuatan sama daripada berulang.

Jamili yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Taman-Taman Sabah berkata individu yang melanggar peraturan wajar dikenakan hukuman penjara bagi memberi pengajaran kepada pihak lain.

Sehingga berita ini ditulis, Persic masih dalam tahanan polis sambil menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, berkata siasatan masih dijalankan.

The post Pendaki Croatia tersentuh porter remaja bantu usung appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved