Pendaki maklum kepada keluarga bahawa mereka dalam keadaan baik Selasa lalu

7 Sep 2026 • 4:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pendaki maklum kepada keluarga bahawa mereka dalam keadaan baik Selasa lalu

GERIK: Polis memaklumkan enam pendaki termasuk dua kanak-kanak yang dikhuatiri hilang di Gunung Trans Gerah, Kelantan, dilaporkan berada dalam keadaan baik ketika kali terakhir berkomunikasi dengan ahli keluarga pada Selasa lepas, sebelum mereka meneruskan perjalanan menghala ke Perak.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata komunikasi terakhir kumpulan itu dengan ahli keluarga berlaku pada 7.47 pagi, hari berkenaan.

“Kumpulan tersebut memulakan pendakian pada 29 Ogos 2026 dari kawasan Pos Dakoh, Gua Musang, Kelantan dan dijangka keluar melalui Pos Kemar, Perak pada 3 Sept 2026.

“Bagaimanapun, hingga 6 Sept 2026 (semalam) ahli keluarga masih belum menerima sebarang khabar berita dan seterusnya membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata kumpulan itu terdiri daripada empat lelaki berusia antara 39 dan 49 tahun serta dua kanak-kanak masing-masing berusia sembilan dan 13 tahun.

Beliau berkata susulan laporan itu, polis bersama agensi berkaitan mengambil tindakan dengan menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejaki kumpulan berkenaan di kawasan laluan sebelah Perak.

Terdahulu dilaporkan identiti enam individu tersebut ialah Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, Siti Zulaiha Norizan, 39, anak mereka Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9 serta dua malim gunung terbabit ialah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43. – BERNAMA

The post Pendaki maklum kepada keluarga bahawa mereka dalam keadaan baik Selasa lalu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved