
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai membayar jaminan berjumlah RM300,000 yang diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Jaminan itu bagi pertuduhan dihadapinya melibatkan kegagalan mengistiharkan wang berjumlah lebih RM160 juta serta 5.5 kilogram (kg) emas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ismail Sabri yang selesai membuat bayaran jaminan di kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi dilihat beredar dari mahkamah pada pukul 11.43 pagi.
Beliau turut ditemani isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, anak guamnya hadir ke mahkamah hari ini bagi membersihkan nama.
Menurutnya, tahap kesihatan anak guamnya itu juga semakin pulih selepas menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN) bagi merawat masalah degupan jantung tidak normal, 7 Ogos lalu.
“Alhamdulillah beliau semakin pulih. Beliau dijadualkan untuk pemeriksaan susulan yang seterusnya di IJN. Setakat hari ini, sudah tentu kami bersyukur tiada perkara tidak diingini berlaku kepada beliau dan marilah kita terus mendoakan kesihatan beliau,” katanya.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan harta berjumlah RM14.7 juta, lima kilogram jongkong emas dan beberapa mata wang asing.
Ia membabitkan Dollar Singapura SG$6,132,350 (RM19,430,464.16); Dolar Amerika: AS$1,461,400 (RM5,885,661.28); Swiss-Franc: CHF3,000,000 (RM15,001,831.12); Euro: €12,164,150 (RM57,098,294.81); Yen Jepun : ¥363,000,000 (RM9,183,892.75); Pound Great Britain; GBP50,250 (RM275,053.76); Dollar New Zealand : NZD44,600 (RM106,858.24); Emirati Dirham: AED34,750,000 (RM38,106,597.49) dan Australian Dollar: AUD$352,850 (RM1,020,415.27).
Selain itu, satu kepingan perak 100 gram dan satu syiling emas lima gram serta beberapa mata wang asing.
Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana Hussin membenarkan Ismail Sabri diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga tertuduh.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan. – UTUSAN
The post Ismail Sabri selesai bayar jaminan, mahu bersih nama appeared first on Utusan Malaysia.





