Pendakwaan tutup kes rasuah Guan Eng selepas 38 saksi beri keterangan

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 5:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pendakwaan tutup kes rasuah Guan Eng selepas 38 saksi beri keterangan

KUALA LUMPUR – Selepas lima tahun dan 38 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menutup kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Azura Alwi selepas saksi ke 38 iaitu Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli yang juga pegawai penyiasat kes berkenaan selesai memberi keterangan hari ini.

“Alhamdulillah, pertama kali kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana sabar mendengar (kes) selama lima, enam tahun. Jadi saya dengan ini menutup kes pendakwaan,” ujarnya.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan seorang saksi kepada pihak pembelaan iaitu Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Rajendran P Anthony, sekiranya Guan Eng, 65, dipanggil membela diri.

Justeru mahkamah menetapkan 13 Januari 2027 bagi pihak pendakwaan dan pembelaan menfailkan hujahan bertulis, manakala hujahan lisan pada 26 dan 27 Januari tahun depan.

Selain Wan Shaharuddin Timbalan Pendakwa Raya lain yang turut mengendalikan kes ialah
Mahadi Abdul Jumaat, Khairunnisa Hazwani Omar, Farah Yasmin Salleh, Muhammad Amin Azmi dan Julaila Jamaludin

Guan Eng diwakili peguam-peguam Ramkarpal Singh, RSN Rayer, Mohd. Haijan Omar, Tiara Katrina Fuad dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

Perbicaraan bermula pada 13 Julai 2021 yang mana antara saksi pendakwaan yang dipanggil ialah bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta ahli perniagaan Datuk Seri G.Gnanaraja.

Sepanjang perbicaraan, kes tersebut turut mendapat perhatian kerana melibatkan beberapa peristiwa antaranya kematian bekas Pengarah Urusan Kumpulan bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dilaporkan terjatuh dari kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5.37 pagi, 5 Oktober 2021.

Mengikut pertuduhan pertama yang telah dipinda Guan Eng, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM3.3 juta bagi dirinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad, dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pertama itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk melaksanakan projek sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

The post Pendakwaan tutup kes rasuah Guan Eng selepas 38 saksi beri keterangan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved