
SEREMBAN - Seorang pendakwah dan influencer media sosial serta setiausaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 51 pertuduhan salah guna dana organisasi berjumlah RM13.85 juta dan pengubahan wang haram.
Abdullah Abdol Razak, 40, membuat pengakuan itu selepas 34 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang milik Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) berjumlah RM13,847,535.89 dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM1.56 juta dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Kesemua pertuduhan mengambil masa lebih sejam untuk dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Abdullah yang ketika itu merupakan pengerusi PRIM didakwa telah diamanahkan untuk mengawal dana pertubuhan, namun secara tidak jujur menggunakan atau melupuskan wang berkenaan, sekali gus bertentangan dengan Klausa 10 perlembagaan PRIM.
Dia didakwa meluluskan pembayaran ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri tanpa mendapat kelulusan mesyuarat agung PRIM.
Kesemua kesalahan pecah amanah jenayah itu didakwa berlaku antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah Seremban.
Abdullah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi 17 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Abdullah didakwa memindahkan RM1.56 juta yang dipercayai hasil aktiviti haram daripada beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya, ke akaun lain bagi tujuan pembelian emas.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram berkenaan atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah, kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM1 juta dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia yang bukan ahli keluarga tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Azrul Zulkifli Stork memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah.
Beliau memaklumkan, Abdullah telah berkahwin dan mempunyai 11 anak berusia antara empat hingga 15 tahun, selain memiliki sebuah restoran dan memperoleh pendapatan sebagai influencer yang tidak menentu.
Peguam itu turut berhujah bahawa jumlah RM1 juta adalah terlalu tinggi, lebih-lebih lagi apabila semua akaun bank milik Abdullah telah dibekukan.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM700,000, iaitu RM400,000 dengan cagaran dan RM300,000 tanpa cagaran, dengan dua penjamin warganegara Malaysia berusia lebih 21 tahun.
Abdullah turut diarahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.
Sementara itu, setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan bersubahat dengan Abdullah dalam kes pecah amanah jenayah membabitkan dana RM13.85 juta milik pertubuhan berkenaan.
Noor Sahira didakwa dengan sengaja membantu Abdullah memindahkan wang tersebut melalui perbankan dalam talian ke beberapa akaun tanpa mendapat kebenaran daripada mesyuarat agung PRIM.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 24 April 2023 hingga 28 Mac 2026.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil mencadangkan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, Azrul memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM150,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai bayi berusia lima bulan serta perlu menjaga ibu bapanya yang tidak sihat.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia lebih 21 tahun, tertakluk kepada syarat yang sama seperti dikenakan terhadap Abdullah.
Kedua-dua kes akan disebut semula pada 28 September ini. - Getaran, 26 Ogos 2026





