Pendakwah bebas dan pempengaruh agama, Ustaz Abdullah Abdol Razak atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 51 pertuduhan membabitkan pecah amanah dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemindahan wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM15.4 juta sejak 2023.
Menurut laporan Kosmo! Online, Abdullah, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Bagi 34 pertuduhan pecah amanah, Abdullah didakwa ketika bertindak sebagai ejen merangkap Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM), telah menyalahgunakan wang dana pertubuhan itu berjumlah RM13,847,535.89 yang berada di bawah penguasaannya.
Beliau didakwa melepaskan wang berkenaan secara tidak jujur dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang menetapkan tatacara pengurusan amanah pertubuhan.

Foto: Kosmo! Online/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan meluluskan pembayaran kepada beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri, tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bank di Biz Avenue, Seremban 2, antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026.
Abdullah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Abdullah turut berdepan 17 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.56 juta.
Wang berkenaan didakwa dipindahkan daripada beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya, ke akaun beberapa syarikat lain bagi tujuan pembayaran pembelian emas.
Kesalahan itu didakwa berlaku di lokasi sama antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan kes berkenaan tidak boleh dijamin dan menawarkan jumlah jaminan RM1 juta sekiranya mahkamah membenarkannya.

Foto arkib: IG UstazlahOfficial
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan RM700,000 dengan dua penjamin warganegara berusia lebih 21 tahun. Daripada jumlah itu, RM400,000 adalah jaminan bercagar manakala RM300,000 tidak bercagar.
Sementara itu, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa atas satu pertuduhan bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang PRIM berjumlah RM13,847,535.89 pada tarikh dan lokasi sama.
Noor Sahira didakwa sengaja membantu Abdullah memindahkan wang tersebut melalui perbankan dalam talian ke beberapa akaun bank tanpa kelulusan Mesyuarat Agung PRIM.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama Seksyen 409 Kanun yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil, menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin warganegara serta beberapa syarat tambahan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia lebih 21 tahun, selain mengenakan syarat tambahan seperti yang ditetapkan terhadap Abdullah.
Kes kedua-dua tertuduh ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September depan.
Sumber: Kosmo! Online (Nur Shafawati Yup)





