Pendakwah bebas dan pempengaruh agama, Ustaz Abdullah Abdol Razak atau Ustaz Lah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah dana sebuah NGO serta 17 pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram.
Menurut laporan Kosmo, kesemua pertuduhan itu membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM15.4 juta dan didakwa berlaku sejak 2023.
Bagaimanapun, Abdullah mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.
Ustaz Lah didakwa salah guna dana PRIM RM13.8 juta

Mengikut 34 pertuduhan, Abdullah yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) didakwa diamanahkan dengan dana pertubuhan berjumlah RM13,847,535.89.
Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berkenaan dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang menetapkan cara amanah tersebut perlu disempurnakan.
Menurut pertuduhan, wang berkenaan didakwa dipindahkan ke beberapa akaun bank termasuk akaun miliknya sendiri tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bank di Biz Avenue Seremban 2 antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta denda.
Turut didakwa pindah wang RM1.56 juta

Abdullah turut berdepan 17 pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank termasuk akaun miliknya ke beberapa akaun syarikat lain.
Wang tersebut didakwa dipindahkan bagi tujuan pembayaran pembelian emas.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan kes berkenaan tidak boleh dijamin dan menawarkan jaminan RM1 juta sekiranya dibenarkan mahkamah.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM700,000 dengan dua penjamin, dengan RM400,000 secara bercagar manakala RM300,000 tidak bercagar.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta PRIM berjumlah RM13,847,535.89.
Noor Sahira didakwa membantu membuat pemindahan wang secara perbankan atas talian ke beberapa akaun bank tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Mahkamah membenarkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia lebih 21 tahun, selain beberapa syarat tambahan.
Kes kedua-dua tertuduh ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September depan.
Nota Oh! Media:
Kes ini masih dalam proses mahkamah dan kedua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah. Jadi, elakkan membuat sebarang kesimpulan atau menghukum seseorang sebelum proses perundangan selesai.
Sumber: Kosmo
Ikuti Perbincangan: Whatsapp, Facebook, Threads dan Instagram.






