Salah satu rungutan yang sering dibangkitkan oleh masyarakat India—malah bukan India sahaja, tetapi semua masyarakat bukan bumiputera—terhadap orang Melayu ialah: mengapa kami tidak boleh diterima sebagai rakyat Malaysia yang setaraf?
Mengapa perlu diwujudkan pembahagian bumiputera dan bukan bumiputera di kalangan rakyat Malaysia? Mengapa kita tidak boleh sekadar menjadi rakyat Malaysia, tanpa ada label-label yang memisahkan kita seperti ini?
Namun, hujah yang sering dibawa oleh orang Melayu untuk mempertahankan pendirian mereka ialah: kita memang perlu label yang memisahkan kita kerana kita memang tidak sama.
Alasan orang Melayu untuk menolak pandangan yang setiap rakyat perlu melihat dan melayan semua rakyat yang lain sebagai serupa dan setaraf adalah pandangan itu tidak berasaskan realiti kerana realitinya ialah kita memang berbeza dan tidak setaraf. Orang Melayu dilihat sebagai“tuan tanah”, manakala bukan bumiputera pula dilihat sebagai pendatang. Ini memang pembezaan yang berasaskan realiti, kata mereka.
Perbezaan pendapat di antara rakyat Bumiputera dan Bukan Bumiputera ini telah melahirkan dua ideologi berbeza dan bertentangan sejak awal penubuhan Malaysia .
Di satu pihak, wujud gagasan “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan oleh bukan bumiputera. Di pihak yang lain pula, terdapat konsep “Ketuanan Melayu” yang dipertahankan oleh orang Melayu.
Sebagai seorang bukan bumiputera, saya harus akui bahawa hari ini saya mula memahami sudut pandang orang Melayu—semuanya gara-gara satu laporan berita yang mempersoalkan sama ada masyarakat India Muslim itu benar-benar boleh dianggap sebagai orang India.
Isu ini timbul apabila Shameera Nasreen Ahamed Noordeen, seorang Muslim India, dipilih untuk mewakili Majlis Belia India Malaysia ke Forum Belia Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) 2026.
Perdebatan tercetus apabila seorang pengulas, Vijay Pillai, mempersoalkan mengapa seorang wanita berusia 27 tahun yang bertudung—yang juga merupakan seorang pelajar Sarjana Sains Marin di Universiti Sains Malaysia dan pegawai perhubungan di Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang—dianggap sebagai wakil kaum India.
Dalam satu video di Facebook yang memaparkan ucapan Shameera, Vijay menulis dengan nada marah: “Kenapa orang Melayu mewakili belia India Malaysia? Cuba dengar apa dia cakap, Tak masuk akal ! ("Why is a Malay is representing Malaysian Indian Youth?? Also listen to her BS!!) ”
Isu ini kemudian menjadi semakin hangat apabila Siti Kasim turut bersuara dan menyifatkan pemilihan Shameera sebagai “tidak sesuai”.
Bercakap tentang Siti Kasim, sampai bila lagi kita mahu berpura-pura bahawa beliau adalah orang Melayu? Pada peringkat ini, saya berani mengatakan bahawa Siti Kasim mungkin lebih dekat dengan bukan Melayu daripada Melayu. Dalam banyak hal, beliau dilihat oleh bukan Melayu seperti mana Ridhuan Tee atau Zamri Vinoth dilihat oleh orang Melayu. Bukan orang Melayu, tapi orang Bukan Melayu yang benar benar sayang dan menghargai Siti Kasim. Ramai bukan Melayu merasakan Siti Kasim memperjuangkan hak mereka dengan lebih bersungguh sungguh daripada ahli politik kaum mereka sendiri sekalipun.
Namun, kembali kepada persoalan utama—adakah orang India Muslim itu wajar dianggap sebagai orang India?
Terus terang, saya sendiri mendapati sukar untuk menerima seorang India Muslim sebagai seorang wakil India, sebagaimana saya sukar untuk menerima seorang Sikh sebagai wakil kaum India. Ketika DAP melantik Jagdeep Singh Deo sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu—jawatan yang diwujudkan khusus untuk mewakili kaum India—saya juga berasa janggal untuk menerimanya sebagai wakil India.
Mungkin ada yang bertanya mengapa saya boleh menerima orang Malayalee, Telugu atau Tamil sebagai wakil kaum India, tetapi bukan orang India Muslim atau Sikh. Saya akui, saya tidak mampu memberikan penjelasan yang rasional. Namun, hanya kerana saya tak ada penjelasan yang rasional, ini tidak bermakna perasaan saya ini adalah tidak benar atau tulen.
Soal identiti sememangnya sering bersifat emosi dan tidak rasional.
Walaupun kita tidak mampu menjelaskan secara logik mengapa kita merasakan keluarga, agama, bangsa atau negara kita adalah lebih baik daripada keluarga, agama, bangsa atau negara lain, tetapi ketidakmampuan kita menjelaskannya secara rasional tidak bermakna perasaan itu adalah tidak benar atau tidak tulen.
Secara jujur, saya merasakan bahawa orang India Muslim atau Sikh bukanlah orang India—kerana jika mereka dianggap sebagai orang India, maka saya tidak boleh menganggap diri saya sebagai seorang India.
Dilihat dari sudut itu, mungkin inilah juga sebabnya mengapa orang Melayu sukar menerima masyarakat bukan bumiputera sebagai rakyat Malaysia yang setaraf.
Kerana bagi mereka, jika mereka menerima masyarakat bukan bumiputera sebagai sama, setara dan setaraf, mungkin mereka pula yang tak boleh melihat diri mereka sendiri sebagai orang Melayu.
Ada orang yang mungkin berhujah: “Kami tidak perlukan orang Melayu melihat kami seperti mereka melihat diri mereka sendiri. Kami cuma mahu dilayan sebagai setara.”
Sekali imbas, permintaan ini kedengaran rasional—tetapi jika difikirkan secara mendalam, apa makna sebenar kenyataan itu?
Bagaimana jika Jagdeep atau Shameera datang kepada kita dan berkata: “Kami tidak perlukan kamu melihat kami sebagai orang India seperti kamu melihat diri kamu, Nehru, tetapi kami mahu kamu melayan kami sebagai setara—dan membenarkan kami menjadi Timbalan Ketua Menteri serta mewakili kamu di peringkat antarabangsa.”
Mengungkap kata Vijay Pillai, reaksi kita pun barangkali juga: “Apa semua ini? Tak masuk akal !”
TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.




