KUALA LUMPUR 10 Nov - Pendapatan boleh diagihkan IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) dijangka meningkat 14.8% kepada RM373.2 juta menjelang tahun kewangan 2028, berbanding RM325.2 juta pada 2026, disokong pertumbuhan pendapatan sewa pusat beli-belah, peningkatan kadar penghunian hartanah serta sumbangan sektor perhotelan.
Menurut Berjaya Research dalam nota penyelidikan, pendapatan boleh diagihkan amanah pelaburan hartanah itu diunjurkan mencecah RM355.4 juta pada tahun kewangan 2027 sebelum meningkat lagi kepada RM373.2 juta pada 2028, mencerminkan prospek pertumbuhan yang stabil menjelang penyenaraiannya di Bursa Malaysia.
Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan hasil keseluruhan IOIPG REIT meningkat daripada RM632.4 juta pada tahun kewangan 2026 kepada RM683.7 juta pada 2027 dan RM713.2 juta pada 2028, didorong kenaikan kadar sewa, permintaan ruang niaga serta tambahan kapasiti bilik hotel.
IOI City Mall kekal penyumbang utama
Berjaya Research berkata, IOI City Mall di Putrajaya yang bernilai kira-kira RM5.15 bilion menjadi aset utama IOIPG REIT, mewakili 67.2% daripada keseluruhan portfolio hartanah bernilai RM7.7 bilion, dengan kadar penghunian 96.9% dan 889 penyewa.
Pusat beli-belah itu menyumbang antara 77% hingga 81.8% daripada hasil keseluruhan IOIPG REIT bagi tempoh tahun kewangan 2023 hingga 11 bulan pertama tahun kewangan 2026, manakala kadar pembaharuan penyewaan yang stabil menunjukkan permintaan berterusan terhadap ruang perniagaan di lokasi berkenaan.
Selain itu, peningkatan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka menyokong perbelanjaan membeli-belah serta makanan dan minuman, sekali gus memberi manfaat kepada jualan penyewa pusat beli-belah dan permintaan penginapan hotel dalam portfolio IOIPG REIT.
Pertumbuhan hotel dan ruang pejabat sokong pendapatan
Portfolio IOIPG REIT turut merangkumi enam hotel, termasuk Putrajaya Marriott Hotel, Le Méridien Putrajaya, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang, serta dua hartanah pejabat yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan melalui peningkatan kadar penghunian dan hasil sewaan.
Berjaya Research menetapkan nilai wajar IOIPG REIT pada RM1.10 seunit, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 96 sen, dengan potensi jumlah pulangan 21.3% termasuk hasil agihan, manakala hasil agihan tahunan diunjurkan meningkat daripada 6.1% pada 2026 kepada 7% pada 2028.
Sementara itu, MBSB Research menganggarkan nilai wajar lebih tinggi pada RM1.13 seunit dan menjangkakan IOIPG REIT mempunyai ruang pembiayaan sekitar RM1.24 bilion bagi menyokong pemerolehan hartanah baharu, termasuk potensi penambahan aset daripada penajanya, IOI Properties Group Berhad.
Dalam nota bertarikh 6 November lalu, TA Securities turut menetapkan nilai wajar RM1.08 seunit dan mengunjurkan pertumbuhan agihan kepada pemegang unit sekitar 4% setahun bagi 2028 hingga 2029, disokong kenaikan sewa IOI City Mall serta prestasi hartanah pejabat, menjelang penyenaraian IOIPG REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 November ini.- DagangNews.com






