liza06/11/2026 - 09:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – SD Guthrie Bhd dijangka merekodkan tambahan sumbangan pendapatan daripada penjualan tanah pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY2026) susulan tiga lagi transaksi melibatkan kawasan seluas 641.47 hektar (1,585 ekar) yang dijangka diiktiraf dalam tempoh berkenaan.
RHB Research berkata, transaksi itu membabitkan tanah seluas 106.84 hektar (264 ekar) di Seberang Prai, 121.41 hektar (300 ekar) di Port Dickson dan 413.28 hektar (1,021 ekar) di Bukit Kerayong yang akan meningkatkan jangkaan sumbangan keuntungan daripada aktiviti berkaitan tanah kumpulan berkenaan.
Sebelum ini, SD Guthrie merekodkan keuntungan RM81 juta daripada penjualan 68.80 hektar (170 ekar) tanah di Kluang pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026).
Selain itu, kumpulan turut memenangi kes undang-undang terhadap Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan bakal menerima pampasan berjumlah RM241.16 juta susulan pengambilan wajib 18 lot tanah di Pulau Pinang.
Susulan perkembangan itu, RHB Research menaikkan anggaran sumbangan keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) daripada penjualan tanah kepada RM1 bilion bagi FY2026 manakala sumbangan bagi FY2027 dianggarkan RM700 juta dan FY2028 sebanyak RM500 juta.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih SD Guthrie susut 17% kepada RM773 juta pada 3QFY2026
Pembangunan perindustrian sokong prestasi
RHB Research berkata keuntungan pembangunan perindustrian SD Guthrie mencapai RM770 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2026 (9MFY2026), mengatasi anggaran firma itu sebanyak RM700 juta.
Prestasi berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian keuntungan kumpulan melebihi jangkaan penganalisis.
Bagi 9MFY2026, keuntungan bersih tidak termasuk item luar biasa SD Guthrie meningkat 21% kepada RM2.29 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, mewakili 88% daripada unjuran RHB Research dan 90% daripada anggaran konsensus pasaran.
Prospek harga minyak sawit kekal positif
Sementara itu, BIMB Securities pula menjangkakan keuntungan segmen huluan pada 4QFY2026 sederhana berbanding prestasi kukuh suku sebelumnya berikutan pengeluaran bermusim yang lebih rendah, meskipun harga CPO yang stabil dijangka memberikan sokongan.
Firma itu turut berpandangan harga CPO kekal positif bagi FY2027, disokong permintaan biodiesel dan kemungkinan bekalan lebih terhad.
Bagaimanapun, RHB Research menjangkakan pengeluaran FFB berdepan tekanan pada FY2027 hingga FY2028 susulan keadaan cuaca kering di Indonesia, dengan unjuran pertumbuhan pengeluaran disemak kepada antara negatif 3% hingga positif 2%.
Dari segi penilaian saham, kedua-dua firma penyelidikan mengekalkan saranan BELI terhadap SD Guthrie. BIMB Securities mengekalkan harga sasaran RM7.50 manakala RHB Research menyemak turun harga sasaran kepada RM7.40 daripada RM8.00. - DagangNews.com






