liza06/11/2026 - 11:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – IOIPG Malaysia REIT dijangka merekodkan pertumbuhan agihan pendapatan sekitar 4% setahun bagi tahun kewangan 2028 (FY2028) dan FY2029 disokong kenaikan kadar sewa IOI City Mall serta peningkatan penghunian bangunan pejabat dan prestasi hotelnya, kata TA Research.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan agihan setiap unit meningkat kepada 6.60 sen pada FY2028 dan 6.85 sen pada FY2029, berbanding 6.33 sen pada FY2027.
“Peningkatan itu mengambil kira kenaikan kadar sewa IOI City Mall sebanyak 5% hingga 6%, kadar penghunian pusat beli-belah sekitar 97% serta peningkatan penghunian bangunan pejabat kepada kira-kira 90% menjelang FY2029,” katanya dalam nota kajian.
IOI City Mall di Putrajaya menyumbang 67.2% daripada nilai portfolio IOIPG Malaysia REIT dan 74.9% daripada pendapatan operasi bersih (NPI) pada FY2025. Pusat beli-belah itu mempunyai lebih 850 penyewa dengan kadar penghunian 96.9% bagi tempoh 11 bulan berakhir Mei 2026.
Kadar sewa puratanya meningkat kepada RM12.64 sekaki persegi bagi tempoh 11MFY2026 berbanding RM9.72 pada FY2023.
TA Research menjangkakan kadar sewa pusat beli-belah itu meningkat 5% hingga 6% bagi FY2028 dan FY2029, manakala kadar penghunian dijangka kekal sekitar 97%.
Kadar huni pejabat
Peningkatan kadar penghunian bangunan pejabat turut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan IOIPG Malaysia REIT, susulan lebih banyak ruang pejabat yang berjaya disewakan kepada penyewa baharu.
TA Research berkata kadar penghunian IOI City Towers di Putrajaya meningkat daripada 27.8% pada FY2023 kepada 61% bagi tempoh 11 bulan berakhir Mei 2026, manakala PFCC Towers di Puchong mencatatkan peningkatan daripada 50.5% kepada 74.1% dalam tempoh sama.
Perkembangan itu turut dicerminkan oleh kadar penghunian yang telah dikomitmenkan bagi kedua-dua bangunan berkenaan yang mencapai 89.8% setakat 31 Mei 2026, menunjukkan sebahagian besar ruang pejabat telah mempunyai penyewa atau komitmen penyewaan.
Bagi FY2027, pihak pengurusan mengunjurkan kadar penghunian purata IOI City Towers meningkat kepada 87.8%, manakala PFCC Towers dijangka mencapai 88.2%. TA Research melihat peningkatan penghunian itu sebagai antara faktor yang menyokong pertumbuhan pendapatan sewaan REIT berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: IOIPG dijangka raih sehingga RM2.43 bilion menerusi tawaran REIT pada harga runcit 96 sen
Kempen Tahun Melawat Malaysia
Bagi segmen hotel pula, prospek pendapatan dijangka disokong pemulihan industri pelancongan serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan peningkatan jumlah pelawat dijangka memberi manfaat kepada kadar penghunian dan harga bilik, khususnya bagi hotel yang terletak di kawasan tumpuan pelancong dan perniagaan.
Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 21.12 juta ketibaan antarabangsa telah direkodkan, terdiri daripada 12.85 juta pelancong yang bermalam dan 8.27 juta pelawat harian.
TA Research menjangkakan peningkatan jumlah pelawat, bersama permintaan perjalanan perniagaan serta aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), akan menyokong prestasi enam hotel dalam portfolio REIT berkenaan, dengan pendapatan sewaan segmen itu diunjurkan meningkat 4% hingga 5% setahun.
Portfolio sembilan hartanah bernilai RM7.66 bilion
IOIPG Malaysia REIT akan disenaraikan dengan sembilan aset bernilai RM7.66 bilion, terdiri daripada IOI City Mall, enam hotel dan dua bangunan pejabat.
TA Research mengunjurkan REIT itu mencatatkan hasil RM687.1 juta dan pendapatan operasi bersih RM470.4 juta bagi FY2027.
Selain portfolio awal itu, IOIPG Malaysia REIT mempunyai hak penolakan pertama terhadap aset hartanah berkaitan milik IOIPG di Malaysia. Antara aset yang dikenal pasti termasuk IOI Mall Damansara, IOI Mall Kulai, IOI Mall Puchong dan Palm Garden Hotel Putrajaya.
Risiko tumpuan aset dan kenaikan kos pembiayaan
Bagaimanapun, TA Research berkata prestasi IOIPG Malaysia REIT masih bergantung kepada IOI City Mall yang menyumbang kira-kira 69% daripada pendapatan operasi bersih (NPI) yang diunjurkan bagi FY2027. Sebarang kelemahan dari segi kadar penghunian, jualan penyewa atau pertumbuhan sewa pusat beli-belah itu boleh memberi kesan besar terhadap pendapatan keseluruhan REIT berkenaan.
Selain itu, kenaikan kadar faedah boleh meningkatkan kos pembiayaan kerana pinjaman REIT menggunakan kadar terapung berdasarkan KLIBOR ditambah 0.75%. TA Research menganggarkan kenaikan kadar faedah 0.25 mata peratusan boleh mengurangkan agihan setiap unit bagi FY2028 sebanyak kira-kira 0.12 sen atau 1.8%. - DagangNews.com






