Malaysia dijangka kuasai 40% kapasiti pusat data ASEAN, sektor telekomunikasi bakal manfaat - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 10:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia dijangka kuasai 40% kapasiti pusat data ASEAN, sektor telekomunikasi bakal manfaat - Penganalisis Image from: Malaysia dijangka kuasai 40% kapasiti pusat data ASEAN, sektor telekomunikasi bakal manfaat - Penganalisis sarah10/11/2026 - 10:37 Gambar hiasan, pusat data Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov - Malaysia dijangka menyumbang kira-kira 40% daripada kapasiti pusat data ASEAN menjelang 2028, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu kepada sektor telekomunikasi negara menerusi peningkatan permintaan terhadap rangkaian gentian optik, sambungan pusat data dan perkhidmatan digital, menurut penganalisis.

 

MBSB Research berkata, berdasarkan unjuran penyedia pusat data NextDC, kapasiti pusat data ASEAN dijangka meningkat daripada 1,677 megawatt (MW) pada suku pertama 2024 kepada 7,589 MW menjelang 2028, didorong perkembangan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pelaburan infrastruktur digital.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan perkembangan tersebut akan memberi manfaat kepada pengendali telekomunikasi seperti Maxis Berhad, khususnya melalui perniagaan perusahaan yang menyediakan sambungan rangkaian berkapasiti tinggi kepada pengendali pusat data.

 

Maxis miliki buku tempahan RM1.3 bilion

Menurut MBSB Research, Maxis telah menghubungkan 55 pusat data melalui rangkaian gentian optiknya, manakala 62 lagi pusat data di Malaysia masih berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan, sekali gus menawarkan peluang untuk mendapatkan kontrak baharu apabila kemudahan berkenaan mula beroperasi.

 

Maxis juga mempunyai buku tempahan kontrak jangka panjang bernilai RM1.3 bilion menerusi perkhidmatan Trunk Fabric dan Data Centre Fabric, yang menyediakan sambungan rangkaian antara pusat data serta menyokong keperluan infrastruktur digital pelanggan perusahaan.

 

BIMB Securities Research pula berkata, Maxis mempunyai kelebihan melalui rangkaian gentian optik sendiri yang merentasi sempadan Thailand hingga Singapura, sekali gus membolehkan syarikat itu memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap sambungan pusat data domestik dan serantau.

 

Pengembangan rangkaian tingkat kecekapan operasi

Menurut BIMB Securities, pengembangan rangkaian gentian optik milik Maxis telah membantu meningkatkan margin perniagaan sekitar lima mata peratusan, namun hanya kira-kira 10% pelanggannya kini menggunakan rangkaian milik syarikat itu sendiri, menunjukkan masih terdapat ruang untuk meningkatkan kecekapan operasi.

 

Firma penyelidikan itu turut melaporkan jumlah pelanggan prabayar Maxis berkurangan sebanyak 366,000 kepada kira-kira tujuh juta pada suku ketiga 2026 susulan peraturan pendaftaran yang lebih ketat, manakala pelanggan pascabayar meningkat sebanyak 144,000 kepada 6.3 juta.

 

Bagaimanapun, BIMB Securities berpandangan penyusutan pelanggan prabayar turut membantu mengurangkan perbelanjaan insentif pengedar dan kos mendapatkan pelanggan baharu, sekali gus menyokong usaha Maxis meningkatkan keuntungan melalui pengurusan kos yang lebih cekap.

 

Persaingan industri dan DNB kekal risiko

Sementara itu, CGS International (CGSI) berpandangan persaingan dalam industri telekomunikasi Malaysia masih menjadi risiko kepada pertumbuhan pendapatan Maxis, khususnya apabila pengendali terus bersaing untuk mengekalkan pelanggan dan menawarkan pakej perkhidmatan pada harga kompetitif.

 

Firma itu menaik taraf saranan Maxis kepada 'tambah pegangan' daripada 'pegang' dengan harga sasaran RM3.72 sesaham, manakala MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' pada RM4.31 sesaham dan BIMB Securities mengekalkan saranan 'pegang' pada RM3.60 sesaham.

 

Walaupun ketiga-tiga firma melihat peluang pertumbuhan daripada pengembangan infrastruktur digital dan peningkatan kecekapan operasi, BIMB Securities turut mengingatkan bahawa potensi kerugian berkaitan pegangan Maxis dalam Digital Nasional Berhad (DNB) boleh menjejaskan pendapatan masa depan, menjadikan keupayaan syarikat memperoleh kontrak pusat data dan mengawal kos sebagai faktor penting kepada prestasinya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved