Prospek pendapatan ViTrox dijangka mencabar disebabkan beban cukai semakin tinggi - HLIB

25/07/2025 - 11:43
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Julai - ViTrox Corp Bhd dijangka berdepan prospek pendapatan mencabar disebabkan beban cukai yang semakin tinggi selain penilaian saham yang terlalu tinggi.
Perkara itu membuatkan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menurunkan penarafan syarikat pengeluar peraltan ujian automatik itu.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas tamatnya insentif cukai status perintis ViTrox, ia boleh menjejaskan keuntungan bersih secara ketara pada masa hadapan dan menyifatkan sebagai pemangkin utama kepada penurunan penilaian.
“Peningkatan cukai ini merupakan kejutan negatif, susulan tamatnya insentif cukai status perintis ViTrox pada 16 Jun 2025 yang mengehadkan pertumbuhan keuntungan bersih teras kepada 40%, dengan jumlah sebanyak RM37 juta,” katanya dalam satu nota kajian.
HLIB menurunkan saranannya kepada “jual” daripada “pegang” sebelum ini, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.65 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 34 kali berdasarkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Nisbah tempahan kepada penghantaran (book-to-bill ratio) ViTrox telah kembali normal kepada 1.1 kali daripada 1.3 kali pada suku pertama, mencerminkan pengurangan tempahan awal yang dipercepatkan sebelum perubahan tarif Amerika Syarikat (AS).
Semua segmen mencatatkan pertumbuhan, didorong pengembangan 16% dalam segmen pemeriksaan papan automatik (ABI) dan lonjakan kukuh sebanyak 59% dalam sistem dan ujian penglihatan mesin (MVST).
Sementara itu, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada 20% daripada 17.5%.
Walaupun segmen utama mencatatkan pertumbuhan kukuh dan EBITDA yang berkembang, kerugian pertukaran mata wang asing serta risiko permintaan akibat ketidaktentuan tarif terus menjadi cabaran.
“ViTrox mengekalkan pendekatan berhati-hati dalam usaha menangkap potensi pemulihan permintaan.
“Pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan yang berdisiplin akan membantu syarikat kekal relevan dari segi teknologi," katanya. - DagangNews.com
standard

