Pendapatan Leong Hup dijangka kekal kukuh pada 2HFY23 disokong kestabilan permintaan produk ayam – HLIB
diyana
07/11/2023 - 11:40
KUALA LUMPUR 7 Nov - Pendapatan Leong Hup International Bhd dijangka kekal kukuh dalam separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23), disokong oleh kestabilan permintaan produk ayam, dinamik bekalan-permintaan lebih seimbang di negara operasi utama dan harga makanan ternakan lebih rendah.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata harga ayam meningkat sedikit di atas harga siling sebelum ini iaitu RM9.40/kg, berikutan bekalan kini stabil dan harga makanan ternakan lebih rendah seperti kacang soya dan jagung, berikutan pemansuhan subsidi dan siling harga berkuat kuasa mulai 1 November 2023.
Walaupun ketiadaan subsidi dan harga ayam yang lebih rendah, firma penyelidikan itu percaya segmen ternakan Leong Hup di Malaysia akan kekal menguntungkan dalam tempoh terdekat, disokong oleh harga makanan ternakan lebih rendah dan kestabilan permintaan.
Di samping itu, HLIB percaya turun naik harga ayam itik di Malaysia akan kekal rendah, memandangkan penyatuan industri dipercepatkan pada masa lalu, yang timbul berikutan pandemik COVID-19 dan kenaikan harga komoditi pada 2022.
Firma itu menambah bahawa pemulihan operasi syarikat di Indonesia, yang bermula pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), dijangka berterusan hingga dua suku akan datang, memandangkan dinamik bekalan-permintaan lebih seimbang dalam pasaran, berikutan pemulihan permintaan dan persaingan harga daripada pemain industri utama mereda.
Begitu juga sumbangan dari Singapura, yang semakin meningkat sejak 4QFY22, dijangka kekal atau bertambah baik pada 2HFY23, memandangkan Leong Hup telah meningkatkan harga jualannya kepada pelanggan kontraknya secara beransur-ansur bagi mencerminkan kos pengeluaran yang lebih tinggi pada FY22.
Tambahan pula, pendapatan dari Singapura dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan harga jualan dan pemansuhan larangan eksport ayam daging ke Singapura berkuat kuasa Julai 2023.
Oleh itu, HLIB meningkatkan unjuran keuntungan bersih teras FY23-25 sebanyak 19.1%,19.1% dan 8%, terutamanya untuk mengambil kira andaian kos makanan ternakan lebih rendah dan andaian margin lebih tinggi untuk pasaran Singapura.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 73 sen sesaham daripada 61 sen sebelumnya.
Pada pukul 11:26 pagi ini, saham Leong Hup telah menokok 1 sen atau 1.5% kepada 67 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM2.4 bilion. - DagangNews.com


