Pertumbuhan pendapatan Techbond dijangka terus dipacu perniagaan pelekat dan pengedap – Kenanga Research
diyana
24/08/2023 - 13:01
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pertumbuhan pendapatan Techbond Group Berhad dijangka terus dipacu oleh sumbangan perniagaan pelekat dan pengedap oleh anak syarikatnya, Malayan Adhesives and Chemicals Sdn Bhd (MAC) yang baharu diambil alih tahun ini.
Kenanga Research berkata keuntungan bersih kumpulan sebanyak RM9.4 juta dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) menepati jangkaannya.
“Lonjakan pendapatan sebanyak 28% tahun ke tahun pada FY23 didorong oleh permintaan kukuh untuk pelekat dan pengedap, ditambah dengan sumbangan daripada MAC yang baru diperoleh.
“Penyepaduan operasi MAC dan sinergi yang terhasil akan terus memacu pertumbuhan pendapatan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, perkhidmatan sokongan Techbond, yang hanya menyumbang 5% daripada perolehan kumpulan, mencatatkan pertumbuhan 25% dalam pendapatan.
Bagaimanapun, katanya, keuntungan bersih teras Techbond susut 16% tahun ke tahun disebabkan kos pentadbiran yang lebih tinggi.
“Dalam jangka dekat, pertumbuhan Techbond akan didorong oleh sumbangan setahun penuh daripada MAC dan sinergi yang timbul daripada penyepaduan MAC ke dalam operasi sedia ada, serta pemasaran produk MAC kepada rangkaian pelanggannya yang lebih luas,” katanya.
Kenanga Research berkata ia terus menyukai Techbond disebabkan: i) keutamaan pelanggan, pembekal rumusan dan model pengeluar, (ii) asas pelanggan kukuh merentasi sektor pengguna dan kerja kayu, dan (iii) kehadirannya semakin meningkat dalam operasi huluan dan pertengahan melalui MAC.
Oleh itu, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan FY24, saranan ‘market perform’ dan harga sasaran (TP) 45 sen sesaham.
Pada rehat tengah hari, saham Techbond didagang tinggi 1.5 sen atau 4.1% kepada 38.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM203.8 juta. - DagangNews.com

