
PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.50 bilion bagi enam bulan berakhir 2026 iaitu meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion tempoh sama tahun lalu.
Jumlah tersebut merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan nilai pasaran semasa ke atas sekuriti yang disebabkan turun naik kadar pertukaran asing.
Selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, keuntungan dan kerugian belum direalisasi ini tidak boleh diagihkan sebagai dividen.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 44 peratus kepada RM29.77 bilion berbanding RM20.61 bilion pada suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP memanfaatkan pasaran ekuiti global yang kukuh di samping mengekalkan pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin.
“Sama seperti suku pertama, kami terus merealisasikan pendapatan lebih awal pada suku kedua memandangkan risiko pasaran dan geopolitik kekal tinggi.
“Walaupun pasaran ekuiti menyokong prestasi pada separuh pertama tahun ini, ahli wajar melihat prestasi ini dalam perspektif jangka panjang kerana peluang pasaran seperti ini mungkin tidak berulang pada separuh kedua tahun ini.
“Fokus kami kekal untuk menjana pulangan mampan yang disokong oleh portfolio berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, KWSP berkata, pendapatan ekuiti meningkat sebanyak 52 peratus daripada RM13.77 bilion pada suku kedua 2025 kepada RM20.94 bilion pada suku sama 2026 disokong oleh pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut.
Jelasnya, perkara itu memberikan peluang kepada pengurus dana untuk merealisasikan keuntungan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
“Sentimen pelabur turut bertambah baik apabila kebimbangan terhadap harga tenaga semakin reda serta keyakinan yang kekal kukuh terhadap kitaran super kecerdasan buatan. Ekuiti menyumbang 70 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.
“Instrumen pendapatan tetap pula menyumbang sebanyak RM6.91 bilion, merangkumi 23 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku kedua,” katanya.
Sementara itu, KWSP berkata, segmen hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.30 bilion, manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.62 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.
Katanya, jumlah aset pelaburan mencecah RM1.54 trilion, dengan 39 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global manakala pelaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM19.29 bilion, merangkumi 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.
“Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah masing-masing adalah RM24.16 bilion dan RM5.61 bilion,” ujarnya.
Dalam pada itu, KWSP juga merekodkan hampir 441,850 ahli baharu pada separuh pertama, menjadikan jumlah keahlian menghampiri 18.5 juta dengan ahli aktif meningkat kepada 10.9 juta dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41.
“Bilangan majikan aktif pula meningkat kepada lebih 645,200 setakat Jun 2026, susulan 37,265 pendaftaran majikan baharu sepanjang suku tersebut,” jelasnya
Bagi caruman sukarela pula, KWSP berkata, jumlah caruman meningkat sebanyak 8.5 peratus kepada RM33.87 bilion pada suku kedua berbanding RM31.21 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Bagi separuh pertama 2026, caruman sukarela terus menunjukkan momentum positif, meningkat kepada RM14.15 bilion, disokong oleh platform digital KWSP yang menyediakan akses yang mudah dan lancar untuk membuat caruman sukarela.
“Jumlah caruman melalui i-Saraan meningkat 15.7 peratus kepada RM1.33 bilion. Sementara itu, bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 13.9 peratus tahun ke tahun kepada hampir 204,450 orang bagi separuh pertama,” jelasnya.-UTUSAN
The post Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 48 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






