Pendapatan pelaburan KWSP naik 48% kepada RM57.5 bilion pada 1H2026

Business & FinancePersonal Finance
17 Aug 2026 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan pelaburan KWSP naik 48% kepada RM57.5 bilion pada 1H2026 Image from: Pendapatan pelaburan KWSP naik 48% kepada RM57.5 bilion pada 1H2026 liza17/08/2026 - 17:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan RM57.5 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2026, meningkat 48% berbanding tempoh sama tahun lalu selepas mendapat manfaat daripada pengukuhan pasaran saham global.

 

Prestasi itu turut disokong sumbangan besar portfolio antarabangsa dengan pelaburan di luar Malaysia terus menjadi antara sumber utama pendapatan KWSP ketika pasaran global menunjukkan pemulihan.

 

Bagi suku kedua 2026, pendapatan pelaburan KWSP meningkat 44% kepada RM29.77 bilion daripada RM20.61 bilion pada suku sama 2025.

 

Daripada jumlah tersebut, pelaburan ekuiti menjadi penyumbang terbesar dengan RM20.94 bilion atau 70% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan suku berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi itu mencerminkan keupayaan KWSP memanfaatkan keadaan pasaran yang menggalakkan dan terus berpegang kepada pendekatan pelaburan untuk jangka panjang.

 

Pasaran Ekuiti Global Pacu Pendapatan Pelaburan KWSP

Beliau berkata, KWSP mengambil peluang daripada keadaan pasaran pada suku kedua untuk merealisasikan pendapatan lebih awal terutama ketika risiko pasaran dan geopolitik masih berada pada tahap tinggi.

 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ahli supaya tidak menjadikan prestasi kukuh separuh pertama 2026 sebagai ukuran bagi tempoh seterusnya kerana keadaan pasaran yang menyokong prestasi itu mungkin tidak berulang.

 

“Fokus kami kekal kepada menghasilkan pulangan yang mampan untuk jangka panjang, disokong portfolio yang berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kenaikan pasaran saham global pada suku kedua memberi peluang kepada KWSP untuk mengambil keuntungan daripada pelaburannya. Pada masa sama, kebimbangan terhadap kenaikan harga tenaga yang semakin berkurangan turut membantu meningkatkan keyakinan pelabur.

 

Keyakinan terhadap kesinambungan kitaran pelaburan kecerdasan buatan (AI) turut menjadi antara faktor yang menyokong sentimen pasaran dan memberi manfaat kepada prestasi portfolio ekuiti KWSP.

 

Pelaburan Antarabangsa Terus Jadi Penyumbang Besar

Pendapatan daripada ekuiti meningkat 52% kepada RM20.94 bilion dalam Q2 2026 berbanding RM13.77 bilion pada tempoh sama tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan ekuiti sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan KWSP.

 

Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menghasilkan RM6.91 bilion atau 23% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan suku kedua. Sekuriti kerajaan Malaysia dan instrumen setara, pinjaman serta bon terus menyediakan pulangan yang stabil kepada dana.

 

Pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur pula menyumbang RM1.3 bilion manakala instrumen pasaran wang mencatat pendapatan RM620 juta.

 

Setakat 30 Jun 2026, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.54 trilion, dengan 39% daripada keseluruhannya ditempatkan dalam pelaburan antarabangsa.

 

Portfolio antarabangsa itu menjana RM19.29 bilion pada Q2 2026, menyumbang 65% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP bagi suku tersebut. 

 

Pada masa sama, pendapatan pelaburan Simpanan Konvensional berjumlah RM24.16 bilion, manakala Simpanan Syariah mencatat RM5.61 bilion.

 

KWSP menjelaskan angka pendapatan pelaburan tersebut turut mengambil kira keuntungan dan kerugian yang belum direalisasikan melalui penilaian mengikut pasaran, terutamanya akibat perubahan nilai mata wang asing.

 

Bagaimanapun, keuntungan dan kerugian belum direalisasikan itu tidak boleh diagihkan kepada ahli sebagai dividen selaras dengan amalan KWSP sebelum ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved