
PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.5 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1H 2026), meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (S2 2026) adalah RM29.77 bilion, 44 peratus lebih tinggi daripada RM20.61 bilion pada suku sama tahun 2025.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi S2 2026 masing-masing adalah RM24.16 bilion dan RM5.61 bilion.
Sementara itu, jumlah aset pelaburan mencecah RM1.54 trilion, dengan 39 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global. Pelaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM19.29 bilion, merangkumi 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya memanfaatkan pasaran ekuiti global yang kukuh di samping mengekalkan pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin.
“Sama seperti suku pertama, kami terus merealisasikan pendapatan lebih awal pada suku kedua memandangkan risiko pasaran dan geopolitik kekal tinggi.
“Walaupun pasaran ekuiti telah menyokong prestasi pada separuh pertama tahun ini, ahli wajar melihat prestasi ini dalam perspektif jangka panjang kerana peluang pasaran seperti ini mungkin tidak berulang pada separuh kedua tahun ini.
“Fokus kami kekal untuk menjana pulangan mampan yang disokong oleh portfolio berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang 1H 2026, KWSP merekodkan 441,850 ahli baharu, menjadikan jumlah keahlian menghampiri 18.5 juta.
Ahli aktif meningkat kepada 10.9 juta, manakala bilangan majikan aktif pula meningkat kepada lebih 645,200 setakat Jun 2026. – KOSMO! ONLINE
The post KWSP rekod pendapatan pelaburan RM57 bilion enam bulan pertama 2026 appeared first on Kosmo Digital.






