
PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.
Dana persaraan itu berkata, selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, keuntungan dan kerugian belum direalisasi ini tidak boleh diagihkan sebagai dividen.
Menurutnya, jumlah pendapatan pelaburan bagi suku kedua pula adalah RM29.77 bilion, meningkat 44 peratus berbanding RM20.61 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP memanfaatkan pasaran ekuiti global yang kukuh di samping mengekalkan pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin.
“Sama seperti suku pertama, kami terus merealisasikan pendapatan lebih awal pada suku kedua memandangkan risiko pasaran dan geopolitik kekal tinggi.
“Walaupun pasaran ekuiti telah menyokong prestasi pada separuh pertama tahun ini, ahli wajar melihat prestasi ini dalam perspektif jangka panjang kerana peluang pasaran seperti ini mungkin tidak berulang pada separuh kedua tahun ini.
“Fokus kami kekal untuk menjana pulangan mampan yang disokong oleh portfolio berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
KWSP berkata, pendapatan ekuiti meningkat sebanyak 52 peratus daripada RM13.77 bilion pada suku kedua 2025 kepada RM20.94 bilion pada suku sama 2026, di sokong oleh pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut.
Jelasnya, ini memberikan peluang kepada pengurus dana untuk merealisasikan keuntungan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
“Sentimen pelabur turut bertambah baik apabila kebimbangan terhadap harga tenaga semakin reda serta keyakinan yang kekal kukuh terhadap ‘kitaran super’ kecerdasan buatan. Ekuiti menyumbang 70 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.
“Instrumen pendapatan tetap pula menyumbang sebanyak RM6.91 bilion, merangkumi 23 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku kedua,” katanya.
Sementara itu, hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.30 bilion, manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.62 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.
Dalam pada itu, KWSP berkata, jumlah aset pelaburan mencecah RM1.54 trilion, dengan 39 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global, manakala elaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM19.29 bilion, merangkumi 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.
“Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah masing-masing adalah RM24.16 bilion dan RM5.61 bilion,” ujarnya. – UTUSAN
The post Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 48 peratus pada separuh pertama appeared first on Utusan Malaysia.






