Pendapatan UOA Development dijangka meningkat namun prospek sederhana – Kenanga Research

Business & Finance
24 Aug 2023 • 12:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan UOA Development dijangka meningkat namun prospek sederhana – Kenanga Research

diyana

24/08/2023 - 12:05

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kenanga Research menjangkakan pendapatan UOA Development Bhd meningkat dirangsang kebangkitan aktiviti pelancongan dan pelancaran projek baharu.

Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut berkata rancangan pembangunan kumpulan itu lebih sederhana dan inventorinya tinggi, yang mungkin menghalang pelabur berbanding pemaju lain.

“Tumpuan strategik kumpulan pada projek kediaman pertengahan diteruskan, dengan usaha jualan untuk The Goodwood Residence dan Laurel Residence memastikan kejayaan pasaran mereka berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23), Kenanga Research berkata kumpulan itu menyasarkan untuk melancarkan tiga projek baharu, iaitu Desa 3, Bamboo Hill Residence dan Duo Tower.

Selain itu, katanya, pembinaan Laurel Residence dan Aster Hill mengikut garis masa FY26 kumpulan, menyokong jualan belum dibil sebanyak RM285.2 juta.

“Sebaliknya, kami menjangkakan aliran pendapatan sewa akan terus disokong peningkatan penyewaan di ruang pejabatnya dan aktiviti peruncitan yang lebih tinggi (iaitu Bukit Buluh, Sphere) manakala bahagian hospitalitinya boleh bertambah baik dengan kedatangan tetamu domestik dan antarabangsa,” tambahnya.

Mengulas prestasi UOA Development pada 1HFY23, firma itu berkata keuntungan bersih RM108.2 juta dalam jangkaan tahun penuhnya dan konsensus, masing-masing merangkumi pada 50% dan 52%.

Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan FY23 tetapi meningkatkan sedikit pendapatan FY24 sebanyak 4% setelah mengambil kira sumbangan tambahan daripada pelancaran baharu yang akan datang (iaitu Duo Tower di Bangsar South).

Firma itu mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan sedikit kepada RM1.77 sesaham berbanding RM1.75 sebelumnya.

Menurut firma tersebut, risiko kepada saranannya termasuk: (i) kelembapan yang berpanjangan dalam sektor hartanah, hospitaliti dan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran), (ii) kenaikan kadar gadai janji yang menghakis kemampuan, dan (iii) perubahan kepada dasar pembangunan bandar di Lembah Klang.

Pada waktu penulisan, saham UOA Development menokok 5 sen atau 2.9% kepada RM1.78 dengan permodalan pasaran berjumlah RM4.3 bilion. - DagangNews.com