BP Plastics diramal berdepan permintaan lemah akibat gangguan perdagangan global, kata Kenanga

04/09/2025 - 15:48
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 4 Sept - BP Plastics Holding Berhad dianggar berdepan permintaan yang lemah berikutan gangguan perdagangan global berterusan serta tekanan persaingan yang semakin meningkat daripada rakan serantau yang sedang melupuskan lebihan inventori, kata Kenanga Research.
Katanya, dengan lebih 65% hasil syarikat diperoleh daripada pasaran eksport dan hampir tiga perempat daripada jualan tertumpu kepada produk filem regangan untuk pasaran eksport, kumpulan itu terdedah secara langsung kepada ketidakstabilan aliran perdagangan global.
Firma penyelidikan itu berkata, pesaing serantau yang dibebani dengan stok berlebihan turut memperhebatkan persaingan harga dengan lambakan produk di pasaran global, sekali gus menekan purata harga jualan (ASP).
"Keuntungan bersih separuh pertama tahun kewangan 2025 merosot 62% tahun ke tahun kepada RM6 juta, jauh di bawah jangkaan dalaman dan konsensus pasaran.
"Hasil kumpulan turut susut 13% dalam tempoh sama, dipengaruhi oleh permintaan yang lemah dan pengukuhan ringgit yang menjejaskan daya saing eksport," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research berkata, suasana suram itu dijangka tidak akan pulih dalam masa terdekat, dengan pemulihan yang lebih bermakna hanya dijangka bermula pada FY26 apabila pasaran menyesuaikan diri dengan persekitaran perdagangan yang terganggu akibat tarif.
Katanya, tahap penggunaan kilang kumpulan juga kekal rendah iaitu sekitar 50%, mencerminkan kelemahan tempahan.
Dari segi kos, harga resin dijangka kekal stabil dalam julat semasa, sementara BP Plastics sedang melaksanakan langkah penjimatan termasuk pemasangan panel solar yang dijangka menjimatkan sehingga RM3 juta setahun dalam perbelanjaan elektrik bermula 4QFY25.
Meskipun berdepan cabaran jangka pendek, kumpulan itu yakin usaha kepelbagaian melalui pelancaran produk baharu seperti filem tiupan untuk sektor F&B serta pelaburan dalam pembungkusan roti mampu menyokong pertumbuhan masa depan.
"Kami mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 74 sen berbanding 82 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
