Peningkatan pendapatan boleh guna, pakej bantuan kerajaan diramal tingkatkan hasil 99 Speedmart - RHB Research

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2025 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan pendapatan boleh guna, pakej bantuan kerajaan diramal tingkatkan hasil 99 Speedmart - RHB Research

image is not available

19/08/2025 - 09:30

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Peningkatan pendapatan boleh guna daripada kenaikan gaji minimum dan pakej bantuan kerajaan yang diperluas kepada golongan berpendapatan rendah diramal tingkatkan hasil rangkaian pasar raya 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, kata RHB Research.

Katanya, dengan lebih 2,800 cawangan di seluruh negara serta jenama yang kukuh dalam kalangan pengguna, 99 Speedmart berada dalam posisi terbaik untuk meraih manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan keperluan harian.

Firma penyelidikan itu berkata, jaringan kedainya yang luas serta pendekatan harga berpatutan terus menarik minat pengguna yang mementingkan kemudahan dan nilai barangan— satu trend yang semakin ketara dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

“Kami melihat perubahan struktur dalam tingkah laku pengguna, di mana nilai dan aksesibiliti menjadi faktor utama dalam keputusan pembelian.

“Dengan fokus kepada barangan asas dan kehadiran cawangan yang menyeluruh, 99SMART berpotensi menjadi peneraju dalam trend ini," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, untung bersihnya meningkat kepada RM153 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM125.5 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, dengan hasil sebanyak RM2.7 bilion, meningkat 1.9% daripada RM2.4 bilion sebelum ini.

Prestasi pendapatan tersebut dipacu penambahan 248 cawangan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 2,894 cawangan berbanding 2,646 kedai pada suku kedua tahun lalu.

RHB Research berkata, langkah proaktif kerajaan — termasuk kenaikan gaji minimum baru-baru ini serta peluasan bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah — dijangka meningkatkan kuasa beli isi rumah, khususnya dalam kalangan kumpulan B40.

Katanya, segmen itu merupakan sebahagian besar daripada pelanggan sasaran kumpulan, sekali gus mengukuhkan lagi prospek pertumbuhan syarikat tersebut.

Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 99 Speedmart sebanyak 9% bagi tempoh tiga tahun akan datang, disokong peluasan cawangan secara berterusan serta kecekapan kos operasi.

"Strategi syarikat yang tertumpu kepada pasaran domestik juga menawarkan daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global, termasuk dasar tarif Amerika Syarikat (AS) yang berubah-ubah.

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.45 sesaham," katanya. - DagangNews.com

standard