Matebedi bimbang Danish ‘terlebih lari’

18 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Matebedi bimbang Danish ‘terlebih lari’

PETALING JAYA: Bakat besar Danish Iftikhar Muhammad Roslee mula mencetuskan kebimbangan ketua jurulatih pecut kebangsaan, Thabo Matebedi apabila pelari berusia 19 tahun itu sudah mengharungi lebih 12 perlumbaan dalam tempoh hanya enam minggu.

Matebedi yang baru mengenali Danish sejak enam minggu lalu berkata, jadual terlalu padat itu perlu diberi perhatian serius kerana atlet muda berkenaan bukan sahaja perlu mengejar prestasi, malah kesihatannya juga perlu dipelihara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai saingannya Sabtu ini.

“Saya sudah mengenali budak ini selama enam minggu tetapi saya boleh kira lebih daripada 12 perlumbaan yang sudah dilaluinya dalam tempoh itu. Saya juga sangat mengambil berat tentang kesihatan atlet kerana dia baru berusia 19 tahun.

“Saya rasa dia sudah berada di bawah terlalu banyak tekanan pertandingan. Kita perlu menjaga atlet, berundur seketika dan melihat semula perancangan sepanjang tahun, bukannya menurunkan atlet dalam perlumbaan hanya kerana mereka mempunyai kemampuan untuk berlari,” katanya.

Danish sebelum ini mengharungi sembilan kejohanan berturut-turut sejak Mei lalu sebelum meneruskan jadual padat itu dengan penyertaan di Oman dan kini kem latihan berpusat di Sendai, Jepun menjelang temasya bermula.

Matebedi berkata, laluan Danish termasuk pulang dari Oregon bagi Kejohanan Dunia Remja sebelum terus menyertai SUKMA Selangor pada minggu sama, diikuti SUKIPT, Oman dan kini Jepun, sekali gus menyebabkan jumlah perlumbaan meningkat dengan pantas.

“Dia balik dari Oregon, kemudian pergi ke Sukan SUKMA pada minggu yang sama, kemudian dalam minggu yang sama juga dia menyertai olahraga universiti, selepas itu kami terbang ke Oman dan sekarang kami terbang balik ke Jepun.

“Ingat, ini semua kejohanan dan sebagai pelari pecut, anda sekurang-kurangnya perlu berlari lima perlumbaan jika menyertai 100, 200 dan acara berganti-ganti, jadi kita bercakap mengenai lebih 12 hingga 15 perlumbaan dalam tempoh enam minggu,” katanya.

Danish dijadual beraksi dalam tiga acara di Aichi-Nagoya iaitu 200 meter (m), 4×100 meter lelaki dan 4×100 meter campuran, dengan acara olahraga berlangsung pada 23 hingga 29 September ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025 itu sebelum ini mengakui mentalnya sudah bersedia sepenuhnya, namun keadaan fizikal sedikit terjejas akibat jadual pertandingan yang padat dan mengakui sasaran utamanya di Sukan Asia adalah untuk mengelak kecederaan. – UTUSAN

The post Matebedi bimbang Danish ‘terlebih lari’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved