
Kota Kinabalu: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mengingatkan orang ramai yang berhasrat menghadiri prosiding Mahkamah Rayuan berhubung hak perlembagaan 40 peratus Sabah pada 29 Oktober ini supaya mematuhi aturan kehadiran dan protokol mahkamah.
Presidennya Datuk Mohamed Nazim Maduarin (gambar) dalam kenyataan berkata aturan telah dibuat dengan kerjasama pentadbiran Mahkamah dan pihak berkuasa keselamatan berkaitan bagi memudahkan kehadiran orang ramai ke prosiding berkenaan sambil memastikan langkah keselamatan yang diperlukan terus dipatuhi.
“Dewan Persidangan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu akan berfungsi sebagai ruang tambahan kepada galeri awam dengan prosiding disiarkan menerusi suapan audio visual Mahkamah.
“Orang ramai digalakkan hadir lebih awal serta memberikan kerjasama sepanjang proses pendaftaran dan mematuhi arahan yang diberikan oleh pegawai bertugas,” kata Mohamed Nazim.
Beliau berkata SLS memohon pemahaman dan kerjasama orang ramai sepanjang pelaksanaan aturan berkenaan bagi memastikan keselamatan hadirin serta kelancaran prosiding.
Pendaftaran akan dijalankan di pusat pemeriksaan yang ditetapkan berhampiran pintu masuk Kompleks Mahkamah. Orang ramai dikehendaki mengimbas kod QR yang disediakan oleh Mahkamah dan melengkapkan borang pendaftaran dalam talian.
Selepas proses pengesahan, pas kemasukan akan diberikan kepada hadirin yang layak. Pas berkenaan akan diperiksa di pusat pemeriksaan kedua. Hanya mereka yang memiliki pas sah dibenarkan masuk ke Dewan Persidangan.
Semua orang dikehendaki mematuhi arahan pegawai Mahkamah dan anggota keselamatan sepanjang proses pendaftaran dan kemasukan.
Orang ramai diwajibkan memakai pakaian formal yang bersesuaian dengan suasana mahkamah. Pemakaian selipar, seluar pendek dan pakaian kasual yang tidak sesuai adalah dilarang.
Aktiviti mengambil gambar, merakam audio atau video, penstriman langsung dan penyiaran semula prosiding menerusi Facebook Live, TikTok Live, Instagram Live, YouTube Live atau platform media sosial lain adalah dilarang sama sekali.
Suapan audio visual yang disediakan di Dewan Persidangan hanya untuk tontonan di lokasi berkenaan.
Makanan dan minuman tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam Dewan Persidangan. Air minuman akan disediakan di ruang legar di luar dewan, katanya.






