‘Pendidikan mengenai keselamatan, siap siaga hadapi bencana perlu diperkenal sejak usia muda’

LocalFamily & Parenting
14 Sep 2026 • 4:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

‘Pendidikan mengenai keselamatan, siap siaga hadapi bencana perlu diperkenal sejak usia muda’

Kota Kinabalu: Pendidikan mengenai keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu diperkenalkan sejak usia muda supaya kanak-kanak membina kesedaran mengenai keselamatan diri dan keluarga mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata pendedahan awal penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja memahami bencana tetapi juga mengetahui tindakan yang perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan.

Beliau berkata kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan sesuatu yang hanya perlu diberi perhatian selepas bencana berlaku sebaliknya persediaan, pengetahuan dan latihan perlu dilaksanakan lebih awal.

Kita semua sedar bahawa bencana boleh berlaku pada bila-bila masa dan dalam pelbagai bentuk. Oleh itu, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai keselamatan, pertolongan cemas, pengurusan risiko serta tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana,” katanya.

Mustapha berkata demikian ketika merasmikan penutupan program Kampung Siaga 221 yang diadakan di Kampung Kokol, Manggatal, di sini, Sabtu lalu.

Beliau berkata pendekatan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) wajar dipuji kerana ia melibatkan masyarakat secara langsung dalam mengenal pasti risiko dan meningkatkan keupayaan mereka menghadapi bencana.

Mustapha berkata penglibatan pelbagai agensi termasuk APM, ADTEC, DBKK dan HUMS merupakan contoh baik bagaimana kerjasama antara agensi kerajaan, institusi dan komuniti dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta program kesedaran mengenai bahaya elektrik oleh ADTEC JTM Kota Kinabalu kepada penduduk Kampung Kokol merupakan antara pengetahuan penting yang perlu diberikan perhatian.

Kesedaran mengenai keselamatan elektrik amat penting kerana kecuaian dalam mengendalikan elektrik boleh mengakibatkan kemalangan, kebakaran dan kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau berharap penduduk dapat memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan dan tidak membiarkan pengetahuan, latihan serta maklumat yang diperoleh berakhir begitu sahaja selepas program itu.

Sebaliknya, Mustapha berkata pengetahuan berkenaan perlu dikongsi dengan ahli keluarga, jiran dan masyarakat setempat kerana kerjasama serta sikap saling membantu merupakan kekuatan utama sesebuah komuniti. Apabila berlaku kecemasan, anggota masyarakat setempat adalah antara mereka yang paling hampir untuk memberikan bantuan sementara menunggu agensi penyelamat tiba,” katanya.

Beliau berharap program Kampung Siaga 221 dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kampung dan komuniti, khususnya kawasan yang berisiko dilanda bencana.

Mustapha turut berharap Kampung Kokol dapat menjadi contoh kepada komuniti lain dalam membina masyarakat yang bersedia, prihatin, bekerjasama dan berdaya tahan dalam menghadapi bencana.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Sabah, Mohd Yusoff Samad berkata, program berkenaan merupakan yang ketiga diadakan tahun ini dan pihaknya akan meneruskan program tersebut setiap tahun.

Kampung Kokol, katanya, dipilih sebagai lokasi berdasarkan penilaian awal terhadap kawasan yang berpotensi berdepan risiko bencana.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved