
KINABATANGAN: Lebih 40 ekor gajah liar memasuki kawasan sekitar Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, Mukim Batu Puteh pada malam 30 September lalu.
Situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan penduduk apabila kumpulan haiwan itu dilihat semakin menghampiri kawasan kediaman dan tempat yang sering digunakan untuk aktiviti harian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi Azman Amirbek berkata ia merupakan kali kedua gajah berkenaan memasuki kawasan itu tahun ini selepas kejadian pertama pada Julai dan kekal di sekitar kawasanterbabit hingga Ogos.
“Keadaan terkini membimbangkan kerana gajah semakin menghampiri rumah, kebun dan kawasan yang sering digunakan penduduk.
“Kehadiran gajah menimbulkan kebimbangan keselamatan khususnya kepada kanak-kanak, warga emas dan sukarelawan komuniti yang memantau keadaan.
“Ini bukan soal mahu bermusuhan dengan gajah tetapi mahu hidup dengan selamat.
“Kita faham gajah ialah hidupan liar yang dilindungi dan memainkan peranan penting dalam ekosistem namun pada masa sama, keselamatan manusia juga perlu diberi perhatian serius,” katanya.
AzmanAzman kemudiannya menggesa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan agensi berkaitan turun semula ke lapangan untuk menilai keadaan, memantau pergerakan gajah serta mengenal pasti laluan yang digunakan haiwan berkenaan.
Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu mewujudkan sistem amaran awal, menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas kepada penduduk, menyelaras operasi menghalau gajah secara selamat serta menyediakan saluran pelaporan kecemasan.
Beliau menegaskan sukarelawan komuniti bukan anggota penguatkuasa atau pasukan hidupan liar profesional dan dengan itu memerlukan panduan keselamatan yang jelas ketika berdepan gajah.
Azman berkata masyarakat tidak mahu gajah dicederakan atau dihapuskan sebaliknya mahukan pendekatan berstruktur bagi mengurus keadaan dan mengelakkan konflik manusia-gajah.
“Gajah mesti terus dilindungi. Masyarakat juga mesti dilindungi.
“Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa sebelum tindakan besar diambil.
”Pencegahan, pemantauan dan pengurusan awal lebih baik daripada bertindak selepas tragedi,” tegasnya.
Sementara itu Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata konflik manusia-gajah memerlukan pendekatan menyeluruh dan bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha menghalang gajah memasuki penempatan.
Beliau berkata sebelum ini beliau melihat penguatkuasaan langkah tertentu dan pembinaan penghalang sebagai antara penyelesaian bagi mengurangkan kemasukan gajah ke kampung.
Bagaimanapun susulan maklum balas masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perbincangan lanjut beliau berkata pendekatan lain juga boleh diteroka bagi menangani punca asas konflik berkenaan.
“Masalah utama ialah kesukaran gajah mendapatkan makanan. Oleh itu satu penyelesaian ialah menanam sumber makanan gajah di kawasan berhampiran sempadan penempatan dan plot pertanian,” jelasnya.
Beliau berkata inisiatif menanam rumput Napier sebagai sumber makanan gajah sedang dibincangkan dengan NGO termasuk RESPonsible Elephant Conservation Trust (Respect) serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Kurniawan berkata jika inisiatif rumput Napier itu berkesan, ia perlu diperluaskan ke kawasan habitat gajah lain di Sabah dan bukan terhad kepada kampung.
“Ia harus diperluaskan ke semua kawasan yang menjadi habitat gajah di Sabah kerana secara umumnya, ini antara masalah utama yang menyebabkan gajah memasuki kawasan manusia,” katanya.
Beliau berkata penglibatan masyarakat juga penting dengan kerajaan berpotensi mempertimbangkan penyediaan atau penajaan bahan tanaman Napier kepada penduduk melalui mekanisme bersesuaian termasuk NGO atau program di peringkat kampung.
Menurutnya pendekatan jangka panjang perlu diteroka bagi mengurangkan konflik manusia-gajah di samping memastikan keselamatan masyarakat dan perlindungan berterusan terhadap gajah.






