
KATHMANDU – Usaha pasukan penyelamat Nepal untuk mengeluarkan pekerja hidroelektrik yang terperangkap di dalam terowong dipenuhi serpihan banjir lumpur terhalang hari ini akibat hujan lebat dan peningkatan paras air sungai.
Kerajaan Nepal berkata, lebih 100 pekerja dipercayai masih hidup dan terperangkap di dalam beberapa terowong projek hidroelektrik, dengan tumpuan utama pada tapak Trishuli 3A dan 3B.
Mereka adalah sebahagian daripada 933 pekerja hidroelektrik yang dilaporkan hilang sejak runtuhan lumpur dan serpihan melanda kawasan sempadan Nepal dan Tibet pagi Rabu lepas.
Di Trishuli 3A, pasukan penyelamat tentera menggunakan gerudi untuk menembusi bahagian atas terowong yang dipenuhi lumpur petang semalam dan mula mengepam udara serta menghantar kamera ke dalam terowong.
Bagaimanapun, hujan semalaman dan peningkatan paras air sungai menghalang usaha di tapak 3A.
“Hujan lebat selepas pukul 2 pagi (waktu tempatan) menyebabkan paras air sungai meningkat dan membanjiri kawasan penggalian,” kata Tentera Nepal pagi tadi ketika usaha menyelamat memasuki hari kelima.
Pihak Berkuasa Elektrik Nepal menyatakan, 11 stesen hidroelektrik dan sebuah stesen janakuasa solar telah berhenti beroperasi, dengan kapasiti gabungan 431.1 megawatt.
Jumlah itu merangkumi 10 peratus kapasiti penjanaan elektrik di Nepal. – AFP
The post Hujan halang operasi menyelamat 100 pekerja hidroelektrik appeared first on Kosmo Digital.






