Penduduk cemas, gajah masuk kawasan perumahan

20 Jul 2026 • 11:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penduduk cemas, gajah masuk kawasan perumahan
Penduduk sempat merakam kelibat dua ekor gajah liar yang memasuki kawasan perumahan Taman Wangsa Mewangi, berhampiran Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. Foto Bernama.
Image from: Penduduk cemas, gajah masuk kawasan perumahan
Penduduk sempat merakam kelibat dua ekor gajah liar yang memasuki kawasan perumahan Taman Wangsa Mewangi, berhampiran Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. Foto Bernama.
Image from: Penduduk cemas, gajah masuk kawasan perumahan
Penduduk menunjukkan najis yang ditinggalkan oleh dua ekor gajah liar yang muncul secara tiba-tiba di sebuah taman perumahan dalam kawasan bandar di Taman Wangsa Mewangi, hampir 500 Meter dari jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis. Foto Bernama

GUA MUSANG - Kira-kira 600 penduduk Taman Wangsa Mewangi di sini cemas apabila dua ekor gajah liar dikesan memasuki kawasan berhampiran penempatan mereka sebelum merosakkan tanaman penduduk dan kebun Projek Sejati MADANI dalam kejadian awal pagi tadi.

Kehadiran haiwan liar itu mula disedari kira-kira pukul 2 pagi apabila seorang penduduk terserempak dengan kedua-dua gajah berkenaan sebelum merakam video dan berkongsinya dalam kumpulan WhatsApp penduduk sebagai langkah memberi amaran kepada komuniti setempat.

Difahamkan, gajah tersebut berada hanya kira-kira 30 meter dari kawasan rumah dan sekitar 500 meter dari Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran landasan kereta api yang sering digunakan penduduk.

**media[3588310]**

Seorang penduduk, Azizul Rahman Hamzah, 50, berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana lokasi kemunculan gajah berada berhampiran laluan utama penduduk.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kehadiran haiwan berkenaan oleh seorang individu yang terkejut selepas terserempak dengan gajah ketika mahu memusingkan kenderaan.

"Selepas dimaklumkan, beberapa penduduk datang melihat keadaan sebelum saya merakam video dan memuat naiknya ke Facebook kerana bimbang dengan keselamatan penduduk di kawasan ini.

"Saya juga risau kerana gajah berada berhampiran landasan kereta api dan tiada sebarang tanda amaran. Kebiasaannya haiwan ini akan kembali kerana kawasan ini mempunyai sumber makanan," katanya.

**media[3588318]**

Seorang lagi penduduk, Mah Swee Ha, 65, berkata, dia terkejut apabila mendapati beberapa tanamannya mengalami kerosakan dipercayai akibat kehadiran dua ekor gajah tersebut.

Katanya, pokok kelapa miliknya rosak, manakala jiran turut memaklumkan mengenai kemunculan haiwan berkenaan yang sebelum itu dikongsi menerusi Facebook.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Wangsa Mewangi, Abdullah Hussein, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera memandangkan kejadian itu berlaku di kawasan bandar Gua Musang.

Beliau berkata, lebih 20 pokok pisang di kebun Projek Sejati MADANI musnah selain beberapa pokok kelapa turut mengalami kerosakan akibat diceroboh gajah liar.

Menurutnya, kawasan berkenaan turut menempatkan ternakan rusa dan perusahaan madu kelulut yang dikhuatiri menerima kesan sekiranya haiwan liar itu terus memasuki kawasan tersebut.

Beliau berkata, laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), manakala pegawai jabatan itu sudah berada di lokasi bagi menjalankan pemantauan serta siasatan lanjut. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved