Penduduk Kunak gesa tindakan segera baiki jalan rosak

21 Oct 2026 • 4:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Penduduk Kunak gesa tindakan segera baiki jalan rosak

JABATAN Kerja Raya (JKR) membaikpulih jalan ke Kampung Kadazan Mostyn, Kunak dan akan terus memantau keadaan laluan itu dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya tidak terus berdepan kesulitan akibat kerosakan struktur jalan.

Sementara itu Majlis Daerah sedang mengatur kerja pembaikan di bahagian yang rosak pada dua batang jalan di kawasan lain di pekan berkenaan.

KAKITANGAN Majlis Daerah mengesahkan terdapat lubang di jalan raya di Kampung Simpang Empat.Tindakan itu susulan aduan berasingan daripada tiga pengguna jalan raya mengenai keadaan laluan yang tidak memuaskan di jalan masuk ke Kampung Kadazan Mostyn dan Kampung Simpang Empat selain Jalan Maganting Plaza.

Mereka turut memberikan maklumat mengenai lokasi bahagian jalan yang bermasalah untuk disalurkan kepada JKR dan Majlis Daerah bagi tindakan lanjut.

Jurucakap JKR berkata pemeriksaan terhadap jalan ke Kampung Kadazan Mostyn sudah dilakukan sebelum pihaknya dihubungi media.

“Bahagian tepi jalan terhakis di beberapa tempat manakala terdapat mendapan di bahagian lain,” katanya.

Beliau berkata salah sebuah syarikat konsesi yang dilantik agensi itu sudah menjalankan kerja pembaikan awal bulan ini.

“Bahan batu baur ditabur di bahagian kritikal sepanjang dua kilometer laluan itu sebelum diratakan menggunakan jentera penggred jalan dan dipadatkan dengan penggelek,” ujarnya.

Berikutan masalah kerosakan jalan yang berulang, jurucakap itu berkata kakitangan JKR akan diminta meningkatkan pemantauan terhadap laluan berkenaan.

“Sebarang kerosakan akan ditangani berdasarkan keadaan dan tahap keterukan yang dikenal pasti,” tambahnya.

Beliau menjelaskan kerja penyelenggaraan lazimnya dilaksanakan setiap tiga hingga empat bulan mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu CHONG yang menetap di Kampung Kadazan Mostyn berkata keadaan jalan berbatu yang menghubungkan kampung itu dengan pekan semakin teruk dari semasa ke semasa.

“Banyak bahagian jalan tidak rata dan licin.

MAJLIS Daerah sedang berusaha mendapatkan peruntukan untuk membaiki kerosakan di Jalan Maganting Plaza.“Laluan itu semakin berlumpur berikutan cuaca hujan yang melanda daerah ini sejak kebelakangan ini,” katanya.

Menurut Chong ramai penduduk luar bandar di kawasan berkenaan di Kunak meluahkan rasa kecewa kepada pihak berkuasa tempatan berhubung masalah jalan itu.

“Pemandu beranggapan laluan itu tidak diselenggara dengan baik. Mereka juga tidak berpuas hati kerana tiada longkang di tepi jalan menyebabkan air hujan bertakung di permukaan jalan.

“Sesetengah penduduk berharap agensi berkaitan mempertimbangkan pemasangan pembetung di lokasi strategik bagi membantu mengalirkan air larian.

“Hujan lebat turun berselang-seli sejak beberapa bulan lalu. Setiap kali hujan, kami bimbang berlaku kemalangan ketika menggunakan laluan itu,” tambahnya.

Sementara itu Majlis Daerah akan meningkatkan usaha menyelenggara jalan di bawah bidang kuasanya.

Jurucakap majlis berkata semakan rekod mendapati Lorong Kampung Simpang Empat dan Jalan Maganting Plaza disenaraikan dalam daftar jalan agensi berkenaan.

“Pemeriksaan di kedua-dua lokasi dilakukan pada hari sama kami menerima maklumat mengenai kebimbangan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata kakitangan majlis mengesahkan terdapat lubang dengan pelbagai bentuk dan saiz di beberapa bahagian Lorong Kampung Simpang Empat.

Dalam kes Jalan Maganting Plaza pula beliau berkata bahagian jalan yang rosak menyebabkan rangka besi di bawah permukaannya terdedah.

“Kami sudah memaklumkan kepada syarikat konsesi kerajaan mengenai masalah di jalan pertama dan meminta pihak pengurusan menampal lubang berkenaan secepat mungkin.

“Bagi Jalan Maganting Plaza, Majlis Daerah sedang berusaha mendapatkan peruntukan yang diperlukan untuk membaik pulih laluan itu,” terangnya.

RAHIM, penduduk Kunak berkata lubang di jalan raya di Kampung Simpang Empat sudah beberapa kali ditampal menggunakan batu kerikil namun kerja pembaikan itu hanya memberikan kelegaan sementara kepada pengguna jalan raya.

“Lubang dan mendapan itu kembali muncul dalam tempoh kurang sebulan,” katanya.

Rahim turut meluahkan rasa kecewanya mengenai masalah jalan berkenaan kepada seorang jirannya, yang memaklumkan bahawa syarikat konsesi tidak mempunyai dana untuk menurap semula jalan di kampung itu.

“Jiran saya pernah bercakap dengan seorang pekerja yang datang menabur batu kerikil di sini.

“Pekerja itu dilaporkan memberitahunya bahawa syarikat berkenaan sedang menunggu peruntukan untuk menurap jalan di kampung ini,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna jalan raya dari pekan sama SARABAT berkata satu bahagian di Jalan Maganting Plaza perlu diturap semula kerana membahayakan pengguna jalan raya.

“Terdapat serpihan besi tajam yang terjulur keluar dari permukaan dasar jalan dan boleh menyebabkan tayar kenderaan yang melalui laluan itu bocor.

“Pada bila-bila masa, kemalangan serius boleh berlaku jika besi itu tidak dialihkan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved