
NEW DELHI – Klip Video seorang lelaki cuba melarikan diri daripada saman trafik menjadi tular selepas dia memecut laju semasa pemeriksaan polis, meninggalkan isterinya yang terjatuh di atas jalan raya, lapor akhbar The Indian Express hari ini.
Lelaki itu tidak berhenti untuk membantu isterinya bangun, sebaliknya memecut laju.
Kejadian berlaku di Trishul Chowk, daerah Rudrapur, negeri Uttarakhand, baru-baru ini.
Anggota-anggota polis sedang menyaman individu yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran dan tidak memakai topi keledar.
Penunggang motosikal itu didakwa memecut dan membelok secara mengejut untuk mengelak anggota polis yang mengarahkannya supaya berhenti.
Isterinya yang membonceng terjatuh ke atas jalan raya. Seorang anggota polis kemudian membantunya bangun.
Menurut laporan, wanita berkenaan tidak cedera. Polis turut memberikan nasihat sebelum dia pulang ke rumah.
Video tular itu mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Suami terbaik tahun ini,” kata seorang netizen.
“Dia pasti berasa sakit, tetapi tidak boleh meluahkan kerana malu ,” kata netizen lain. – AGENSI
The post Suami cabut lari elak saman, biarkan isteri terbaring di atas jalan appeared first on Kosmo Online.






