
PENAMPANG: Kerajaan Negeri digesa segera membaiki jalan raya dan memasang gabion di kediaman penduduk Kampung Sarapung, Kolopis, di sini, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh terburuk di kampung itu pada September tahun lepas.
Penduduk terjejas masih menanti beberapa bahagian di kawasan berbukit itu dibaiki dan dipasang gabion. Mereka bimbang keadaan tanah yang rapuh mungkin menyebabkan kejadian tanah runtuh berulang, terutama ketika musim hujan sekarang.
SEBAHAGIAN jalan raya di Kg Sarapung perlu diperbaiki.Seorang penduduk, Crispin Longik, berkata jika kawasan tanah yang rosak itu tidak dibaiki segera, mereka bimbang kejadian seumpama itu akan berulang dan membahayakan nyawa serta merosakkan harta benda.
Pada Julai lepas, Ketua Sayap Wanita Warisan Penampang melawat kawasan itu dan mendapati jalan raya menuju ke rumah mangsa tanah runtuh pada September 2025 masih belum dibaiki.
Crispin ialah cucu kepada warga emas yang maut selepas rumahnya diseret beberapa kaki dari kedudukan asal di atas bukit berbatu dan tanah yang berkecai. Sehingga kini, jalan raya menuju ke rumahnya yang rosak teruk masih belum dipasang gabion.
Lawatan terbaharu Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Penampang Christopher Masudal bersama pasukannya baru-baru ini juga mendapati belum ada kerja pembaikan dilaksanakan.
Insiden tanah runtuh di kawasan itu tahun lepas mendapat perhatian nasional selepas meragut nyawa seorang warga emas berusia 97 tahun yang tertimbus. Susulan tragedi itu, Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor turun padang meninjau sendiri kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh di penempatan berkenaan.
Selepas lawatan mereka tular di media sosial, kerja-kerja mengorek parit dan menimbus lubang di jalan raya dilakukan, namun pembaikan jalan dan pemasangan gabion masih belum dilaksanakan.
Christopher mempersoalkan kenapa Kerajaan Negeri masih belum melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan raya dan pemasangan gabion, khususnya di kediaman Crispin yang paling teruk terjejas.
“Hasil lawatan terbaharu kami di sana pada 9 Oktober lalu mendapati tindakan pihak berwajib masih mengecewakan. Selepas lawatan terdahulu oleh Ketua Sayap Wanita Agnes Kinsil dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Prisca Totu, pihak berkuasa hanya melakukan kerja-kerja asas seperti mengorek parit dan menimbus lubang jalan, manakala pembinaan gabion masih tertangguh,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu turut menjejaskan projek pembinaan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) milik seorang penduduk, James Gouling, apabila lori pembinaan gagal memasuki tapak disebabkan keadaan jalan berlopak dan mempunyai rekahan besar, sekali gus memerlukan pemasangan gabion segera.
Selain itu, Warisan turut membangkitkan ancaman aliran batu-batan dari bekas kuari di atas bukit yang menghanyutkan jalan menuju ke kediaman keluarga Harina Tingkawan ketika hujan lebat baru-baru ini.
Christopher mendesak supaya dinding gabion dipasang di belakang kediaman keluarga berkenaan bagi mengekang ancaman banjir lumpur yang berterusan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu ancaman tanah runtuh, banjir lumpur dan banjir kilat yang semakin meruncing di Kampung Kolopis akan dijadikan agenda utama kepimpinan baharu bahagian itu.
Beliau berkata pihaknya kecewa dengan kurangnya komitmen pihak berwajib dan berikrar untuk terus membela nasib penduduk setempat.
“Beberapa penduduk di kampung itu telah menghubungi saya baru-baru ini mengenai ketiga-tiga perkara ini dan sebagai Timbalan Ketua Bahagian Warisan Penampang yang baharu, perkara ini akan dijadikan agenda utama bahagian ini.
“Sangat mendukacitakan jika pihak berkenaan tidak mempunyai komitmen dan semangat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang semakin meruncing di Kampung Kolopis ini. Kami berharap dapat membantu dalam hal ini,” katanya.






