
MUKADIMAH
Selepas lebih seminggu berkempen, calon Pakatan Harapan (PH), NOR AZMAN MOHAMAD mengakui beliau semakin yakin dengan sokongan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat terhadapnya.
Katanya, setiap kali bertemu, penduduk memberikan maklum balas baik malah manifesto yang dibawa Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini turut mendapat sambutan positif.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA beliau berkata, penerimaan baik yang diterimanya itu diharap dapat diterjemahkan kepada sokongan dan undi pada hari pengundian, 1 Ogos ini.

Menurutnya, pengundi perlu membuat pilihan secara rasional iaitu dengan menilai rekod serta prestasi perkhidmatan PH berbanding ‘termakan’ sentimen dibawa sesetengah pihak semasa tempoh kempen.
UTUSAN: Selepas lebih seminggu berkempen, apa dapatan isu dihadapi penduduk di Sikamat ini?
NOR AZMAN: Selain isu kesesakan, penduduk juga menghadapi isu infrastruktur dan kemudahan kerana di Sikamat ini banyak taman-taman yang lama. Oleh itu ia memerlukan penyelenggaraan seperti jalan dan sebagainya.
Tiada isu lain berkaitan kemudahan, dahulu mungkin berlaku masalah gangguan bekalan air tetapi sekarang tidak lagi.
Bagaimana isu dengan kehadiran komuniti Rohingya di Taman Jujur?
Kehadiran mereka ini memerlukan tindakan menyeluruh pelbagai pihak dan tidak hanya di peringkat DUN.
Isu ini memang menimbulkan kekhuatiran penduduk tempatan dalam pelbagai aspek seperti keselamatan dan persaingan ekonomi. Oleh itu saya lihat perlu ada penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa dalam hal ini.
Bagaimana perjalanan kempen setakat ini?
Menerusi manifesto yang dilancarkan, kami dapat memberitahu apa yang ingin ditawarkan kepada masyarakat, khususnya di Sikamat.
Rata-rata inisiatif dan manifesto itu mendapat reaksi yang positif terutama dalam kalangan warga emas. Ia apabila kami berusaha hendak meningkatkan jumlah bantuan untuk warga emas.
Golongan M40 juga akan mendapat banyak inisiatif jadi respon-respon nampak semakin baik. Saya gembira apabila ramai yang menyatakan akan memberikan sokongan termasuk anak-anak mereka, setakat ini semua nampak positif.
Sebagai calon tempatan berbanding dua lagi pesaing, adakah ia beri kelebihan?
Itu antara perkara-perkara yang mereka sebut dan juga saya sebut juga. Mereka mudah untuk bertemu saya. Saya juga ahli kariah masjid di sini, tinggal di sini sini maknanya tidak ada isu untuk mereka hendak cari saya, insya-Allah.
Menjelang hari pengundian apa harapan kepada pengundi di Sikamat?
Saya harapkan supaya pengundi boleh menilai prestasi, kemampuan kami mentadbir dan manifesto yang telah kami bentangkan. Jangan termakan dengan sentimen-sentimen sempit ini yang mungkin laku bagi lima, enam hari ini.
Tetapi untuk lima, enam tahun ini kita akan menghadap ekonomi, suasana, itu realiti yang kita hadapi, bukan lima enam hari ini sahaja. Sentimen ini tidak akan beri kebaikan untuk tempoh lima, enam tahun ini , saya harap pengundi rasional.
Penyatuan ummah yang cuba dijual itu pernah gagal sebelum ini, masing-masing saling mengkhianati, kemudian mahu bersama kembali, lebih pelik ada yang kata persefahaman mereka hanya di Negeri Sembilan, selepas ini di Melaka mungkin tidak wujud lagi, apa bentuk persefahaman ini? Mereka hanya jual sentimen, bukan betul-betul untuk mentadbir.
Apa komitmen tuan kepada penduduk di Sikamat jika dipilih mewakili mereka nanti?
Saya akan cuba meneruskan legasi ataupun meneruskan khidmat yang telah diberikan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun. Di samping itu ada perkara-perkara penambahbaikan yang lain diketahui sewaktu tempoh berkempen.
Ada perkara-perkara yang mungkin terlepas pandang iaitu daripada sudut kebajikan dan infrastruktur. Ini juga akan saya susuli.
Bagaimana dengan sentimen dan jangkaan arah sokongan dalam kalangan pengundi anak muda?
Apa yang saya perhatikan, pengundi muda ini bergantung kepada emak ayah juga, apa yang mak ayah mereka undi, itu juga mereka akan undi.
Namun ada pengundi muda yang masih belum buat keputusan lagi, mereka bergantung juga kepada dapatan mereka dalam media-media sosial. Setakat yang saya temui dalam program-program, mereka positif kepada kami.
Apa harapan kepada kelompok pengundi ini?
Cuma saya harapkan mereka keluar mengundi pada 1 Ogos nanti. Buat pilihan dengan matang dan buat penilaian berdasarkan fakta dan prestasi yang ditunjukkan oleh PH.
Dalam kalangan anak muda di Sikamat ini, kami sudah dekati sejak mereka di bangku sekolah lagi. Setiap tahun ada anugerah kecemerlangan akademik, kami bantu mereka sambung belajar, semua perkara itu mereka nikmati hasil pentadbiran telus kerajaan negeri. – UTUSAN
KENALI CALON
Nama: Nor Azman Mohamad
Umur: 46 tahun
Pendidikan: Ijazah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Mesir
Kerjaya: Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan
: Penceramah agama
Politik: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR
: Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan
NGO: Pengerusi Ikatan Mahasiswa Timur Tengah Negeri Sembilan (2004-2011)
: Guru takmir masjid, surau seluruh Negeri Sembilan.
The post Penduduk Sikamat perlu kekal memilih Pakatan Harapan appeared first on Utusan Malaysia.






