JEMPOL - Pakatan Harapan (PH) Dewan Undang Negeri (DUN) Jeram Padang membuat laporan polis berhubung satu rakaman video yang mengandungi kenyataan didakwa memfitnah Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Calon PH DUN Jeram Padang, G Manivannan berkata, laporan polis berkenaan dibuat oleh wakil calonnya di Balai Polis Rompin pada Isnin.
"Dalam rakaman video tersebut, seorang individu yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rembau telah menyampaikan ucapan di hadapan orang ramai dan antara lain menyatakan, 'sampai Istana, sampai negeri, sampai kuasa negeri, Menteri Besar kita habis dipegang oleh DAP ni'.
"Berdasarkan kenyataan itu, individu berkenaan didakwa memberi gambaran bahawa Institusi Diraja Negeri Sembilan dan kerajaan negeri berada di bawah kawalan parti politik DAP.
"Saya mendapati kenyataan itu mengelirukan. Kuasa pentadbiran negeri diterajui seorang Menteri Besar yang mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan mestilah seorang Melayu beragama Islam," katanya.
Beliau berkata, kenyataan itu juga disifatkan sebagai satu fitnah jahat terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan seluruh Institusi Diraja Negeri Sembilan.
"Saya rasa perkara seperti ini perlu diketepikan dalam pilihan raya apabila ada pihak yang memainkan isu berkaitan 3R," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap individu terbabit mengikut Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta undang-undang lain yang berkaitan.






