KUALA LUMPUR 3 Nov – Penduduk Tanjung Bungah, Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri menghentikan rancangan pembangunan di kawasan pesisir pantai yang dikenali sebagai ‘Sore Thumb’ bagi memastikan kawasan itu terus dipelihara sebagai taman pantai awam dan habitat semula jadi.
Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA), Zulfikar Abdul Aziz berkata, penduduk mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang masih belum memberikan maklum balas terhadap cadangan mereka untuk membangunkan taman alam semula jadi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, penduduk kesal apabila tanah pesisir pantai awam itu didakwa akan digunakan untuk pembangunan pusat kesihatan lima tingkat milik swasta.
Beliau berkata, usaha penduduk untuk menyelamatkan Sore Thumb dan mengekalkannya sebagai taman pantai awam sudah berlangsung hampir 20 tahun, namun perjuangan itu masih belum menemui penyelesaian.
"Kami mahu habitat hidupan liar dipelihara dan bukannya diubah bentuk tanpa keperluan. Kami mahukan taman awam, tetapi bukan dengan mengorbankan alam semula jadi yang sepatutnya dilindungi," katanya ketika menyertai demonstrasi aman di luar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, lapor The Star.
Penduduk bimbang kesan terhadap alam sekitar
Zulfikar berkata, penduduk turut membantah rancangan pemaju yang didakwa mahu merendahkan kawasan bukit hijau daripada 18 meter kepada enam meter, menebang tumbuh-tumbuhan matang serta membina tembok penahan konkrit berskala besar di sepanjang pesisir pantai awam.
Katanya, taman pantai sepatutnya dibangunkan secara harmoni dengan alam semula jadi dan bukannya memusnahkan persekitaran asal bagi menyediakan kemudahan yang tidak diperlukan.
Beliau berkata, penduduk mahu kawasan asal seluas dua ekar yang diperuntukkan sebagai taman awam dikekalkan tanpa memperluaskan kemudahan rekreasi sehingga memasuki kawasan habitat hidupan liar.
Dalam demonstrasi sama, TBRA turut menyerahkan pelan landskap setebal 78 halaman kepada Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff di luar bangunan DUN negeri.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Oo Huei Ying berkata, pembinaan tembok penahan yang melepasi paras air pasang tertinggi dikhuatiri mengganggu pergerakan pasir dasar laut dan mencetuskan hakisan pantai yang lebih serius di sepanjang pesisir Tanjung Bungah serta Batu Ferringhi.
Beliau turut mempersoalkan mengapa penduduk perlu terus berunding dengan pihak berkepentingan swasta sedangkan pelan cadangan setebal 78 halaman yang dikemukakan pada Februari 2026 masih belum dipertimbangkan.
Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow perlu menunaikan komitmen untuk melindungi karakter semula jadi kawasan berkenaan.
Sore Thumb menjadi habitat hidupan liar
Kawasan tanah itu yang terbentuk susulan aktiviti pembuangan sampah secara haram kira-kira 20 tahun lalu kini telah kembali ditumbuhi tumbuh-tumbuhan dan menjadi habitat kepada memerang, monyet daun perang muka putih serta helang laut yang bersarang.
Sebelum ini, dilaporkan sebuah taman awam baharu menghadap laut dikenali sebagai Seaside Pocket Park akan dibangunkan di Tanjung Bungah bersebelahan Lot 4658 sebagai sebahagian daripada kelulusan perancangan projek pembangunan pusat kesihatan lima tingkat di atas tanah berkenaan.
Kerajaan negeri nafi dakwaan pembangunan mewah
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari menafikan dakwaan bahawa kawasan hijau pesisir pantai itu sedang dibersihkan bagi memberi laluan kepada pembangunan mewah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah itu berkata, kerja yang sedang dijalankan adalah bagi pembinaan taman pantai awam seperti yang ditetapkan kerajaan negeri sebagai salah satu syarat kelulusan pembangunan projek berkenaan.
Menurutnya, taman itu akan kekal sebagai kemudahan awam dan pemaju telah diarahkan menyiapkannya terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pembinaan pembangunan persendirian dimulakan. - DagangNews.com






