Tanah runtuh Paya Terubong: Empat rumah diarah kosong atas faktor keselamatan

LocalEnvironment
30 Oct 2026 • 2:14 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Tanah runtuh Paya Terubong: Empat rumah diarah kosong atas faktor keselamatan

GEORGE TOWN - Empat rumah berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini diarahkan dikosongkan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye berkata notis pengosongan sudah dikeluarkan kepada penduduk terlibat sementara menunggu hasil perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"Isnin ini, kita akan mengadakan mesyuarat dengan JKKP. Kita akan mendapatkan maklum balas selepas mesyuarat dengan JKKP," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.36 pagi Ahad lepas, Dr Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menjejaskan kediamannya, manakala isterinya Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya Wong Poh Lim, 80-an, berjaya menyelamatkan diri.

H'ng berkata JKKP telah menjalankan siasatan di lokasi sehari selepas insiden itu bagi mengenal pasti punca dan jabatan itu dijangka memanggil semua pihak berkaitan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas sebelum menentukan tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kegagalan mematuhi peraturan.

"Jika didapati berlaku kecuaian atau kegagalan daripada mana-mana pihak, tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan akta berkaitan. Bagaimanapun, kita perlu menunggu hasil siasatan JKKP sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kejadian atau kemungkinan wujudnya kecuaian," katanya.

Dalam perkembangan sama, H'ng berkata pihak pemaju telah diminta melaksanakan langkah mitigasi segera bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh berulang, khususnya ketika hujan lebat termasuk menutup bahagian cerun terdedah menggunakan geotekstil bagi mengurangkan kemasukan air hujan ke dalam tanah.

Beliau berkata sistem pam dan saluran paip turut disediakan bagi mengalirkan air dari kawasan atas bukit ke longkang terbuka bagi mengelakkan air bertakung atau melimpah ke kawasan cerun berkenaan.

Mengulas dakwaan kerja penstabilan cerun sebanyak dua kali antara 2018 hingga 2026, beliau berkata kerja itu dilaksanakan sebagai langkah keselamatan sebelum pembinaan jalan dimulakan dan semua pelan pembangunan perlu melalui proses penilaian dan kelulusan, termasuk penelitian oleh perunding serta jawatankuasa teknikal berkaitan. - 30 Oktober, 2026

The post Tanah runtuh Paya Terubong: Empat rumah diarah kosong atas faktor keselamatan appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved