
JEMPOL – Seorang peneroka warga emas maut selepas motosikal yang dia tunggang memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 18, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian 11.25 pagi itu, kemalangan membabitkan lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 53 tahun dari arah Bahau menghala ke Triang, Pahang dan motosikal jenis Honda c100 ditunggang lelaki berusia 73 tahun.
“Setiba di lokasi kejadian, semasa pemandu lori itu bergerak terus, tiba-tiba motosikal mangsa dari arah bertentangan masuk ke laluan lori dan menyebabkan perlanggaran berlaku di bahagian hadapan sebelah kanan pemandu lori terbabit.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal itu telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Peneroka warga emas maut masuk laluan lori appeared first on Kosmo Digital.






