Tiga maut nahas tiga kenderaan di Paya Pasir

28 Jul 2026 • 1:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga maut nahas tiga kenderaan di Paya Pasir

MARAN: Tiga individu termasuk dua wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 95, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Paya Pasir di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang maut, pemandu dan penumpang Perodua Myvi, Masitah Mohd, Soad, 59, Salbiah Mohamad Sah, 76, dan penumpang Perodua Alza, Muhammad Arif Daniel Mohd. Norsha’ari, 20.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan jenis Perodua iaitu Myvi, Alza dan Kancil.

Menurutnya, Perodua Myvi itu dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Masjid Kampung Paya Pasir sebelum sebuah Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki laluannya.

“Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berlanggar secara berdepan sebelum sebuah lagi kereta yang berada di belakang Perodua Myvi tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri Perodua Alza yang berhenti di atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kim Wai berkata, dua wanita warga emas yang merupakan pemandu dan penumpang Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lelaki penumpang belakang Perodua Alza turut disahkan maut di lokasi.

Katanya, pemandu dan seorang penumpang Perodua Alza mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk menerima rawatan, manakala pemandu kereta Kancil tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaan sehingga memasuki laluan bertentangan. Bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dikejarkan ke lokasi. – UTUSAN

The post Tiga maut nahas tiga kenderaan di Paya Pasir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved